SEMPORNA – Pagi yang sepatutnya dilalui dengan rutin latihan berakhir dengan khabar duka apabila Pasukan 69 Komando (VAT 69) Polis Diraja Malaysia kehilangan seorang pegawai terbaiknya dalam satu insiden menyayat hati di perairan Pulau Mataking.
Inspektor Khairul Azhar Kamaruddin disahkan meninggal dunia selepas rebah tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam berhampiran Pos Gabungan PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekitar jam 10.25 pagi.
Allahyarham, yang berkhidmat sebagai Troop Commander 9, Skuadron C, sebelum itu dilaporkan tiba di jeti pulau berkenaan seawal jam 8 pagi bersama pasukan Team Charlie bagi membuat persiapan peralatan latihan. Segalanya berjalan seperti biasa, sebelum suasana tiba-tiba berubah menjadi cemas dan pilu.
Ketika latihan sedang dijalankan, Allahyarham dilaporkan tidak sedarkan diri di dalam air. Kejadian itu disedari pihak resort berhampiran yang segera bertindak memberikan bantuan kecemasan.
Usaha menyelamat dilakukan sebaik mungkin apabila kakitangan resort bersama rakan seperjuangan Allahyarham daripada VAT 69 berganding bahu melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) di lokasi kejadian, dalam harapan agar nyawanya dapat diselamatkan.
Allahyarham kemudiannya dihantar dengan bot ke Hospital Semporna, namun takdir menentukan sebaliknya apabila pihak perubatan mengesahkan beliau telah menghembuskan nafas terakhir.
Allahyarham sebelum ini berpangkalan di kem VAT 69 di Ulu Kinta, Perak, dan pemergiannya meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada pasukan komando elit itu, malah kepada seluruh warga pasukan keselamatan negara.
Kehilangan seorang pegawai yang berdisiplin, berpengalaman dan memegang peranan penting ini dianggap satu kehilangan besar dan sukar diganti.
Seluruh warga PDRM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Inspektor Khairul Azhar Kamaruddin dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L