KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan secara rasmi mewartakan Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan sebagai hari kelepasan am bagi tahun 2026, yang kedua-duanya jatuh pada 1 Februari.
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia memaklumkan, cuti Hari Wilayah Persekutuan merupakan cuti wajib yang perlu diberikan oleh majikan sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, dan tidak boleh digantikan, selaras dengan Seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 [Akta 265].
Menurut kenyataan itu, memandangkan Hari Wilayah Persekutuan pada 2026 jatuh pada hari Ahad, majikan yang menetapkan Ahad sebagai hari rehat mingguan hendaklah menyediakan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya, iaitu Isnin.
Sementara itu, majikan yang memilih Hari Thaipusam sebagai sebahagian daripada enam hari kelepasan am pilihan di bawah Subseksyen 60D(1)(a) Akta 265 perlu memberikan cuti gantian pada hari Selasa, berikutan pertindihan kedua-dua cuti am tersebut.
Dalam pada itu, majikan juga dibenarkan menggantikan cuti tersebut dengan mana-mana hari lain sebagai cuti berbayar, tertakluk kepada persetujuan pekerja seperti yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 60D(1A) akta sama.
Tambah kenyataan itu, pekerja yang diarahkan bekerja pada hari kelepasan am layak menerima bayaran gaji pada kadar cuti umum seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 60D(3) Akta Kerja 1955.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L