BEIRUT – Presiden Lubnan, Joseph Aoun semalam, mengarahkan Angkatan Tentera Lubnan supaya menghadapi sebarang pencerobohan Israel ke atas wilayah selatan yang telah dibebaskan, bagi mempertahankan tanah air serta keselamatan rakyat, lapor Agensi Berita Kebangsaan (NNA).
Arahan itu dikeluarkan ketika mesyuarat pagi itu di Istana Baabda bersama Panglima Tentera Jeneral Rudolph Haykal.
Presiden dimaklumkan mengenai insiden pencerobohan Israel di Blida pada malam itu, yang mengorbankan seorang pekerja majlis perbandaran, Ibrahim Salameh ketika dia sedang menjalankan tugas.
Presiden Aoun mengecam serangan itu dan menyifatkannya sebagai “sebahagian daripada corak pencerobohan Israel yang berterusan,”.
Beliau menegaskan, ia berlaku “tidak lama selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Gencatan Senjata (Mekanisme), yang tidak seharusnya hanya mencatat insiden, tetapi bertindak untuk menamatkannya dengan menekan Israel supaya mematuhi perjanjian gencatan senjata November dan menghentikan pelanggaran terhadap kedaulatan Lubnan.” – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001