Dari Meja Editorial
DALAM sejarah konflik moden, sukar untuk mencari satu entiti yang begitu konsisten menggunakan penipuan, manipulasi fakta dan propaganda sebagai alat kelangsungan politik seperti yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.
Bagi pemerhati yang mengikuti perkembangan di Palestin sejak berdekad lalu, corak ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Malah, ia telah menjadi sebahagian daripada ‘strategi pertahanan’ Israel – menundukkan kebenaran demi membentuk naratif yang mengabsahkan kekejaman mereka.
Terbaharu, dunia sekali lagi menyaksikan bagaimana rejim Zionis sanggup memutarbelitkan fakta secara terang-terangan apabila mendakwa konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) tidak membawa sebarang bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Tuduhan ini digunakan sebagai alasan untuk menahan para peserta konvoi, yang melibatkan aktivis kemanusiaan antarabangsa, petugas perubatan dan sukarelawan, tanpa asas yang sah di sisi undang-undang antarabangsa.
Realitinya, dokumentasi misi GSF jelas menunjukkan kapal-kapal yang terlibat membawa pelbagai bentuk bantuan kritikal: bekalan perubatan, makanan kering, susu bayi, peralatan kesihatan dan keperluan asas yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza.
Sejak berbulan lamanya, Gaza telah dikepung dan dijadikan medan penderitaan manusia paling parah di abad ini, hasil sekatan berterusan Israel dan sekutunya.
Misi GSF bukanlah satu tindakan provokatif, tetapi sebahagian daripada inisiatif global untuk menamatkan pengepungan tidak berperikemanusiaan yang telah berlangsung selama hampir dua dekad.
Namun, seperti yang sering berlaku, Israel cuba memesongkan naratif dengan menggambarkan inisiatif damai ini sebagai satu bentuk ancaman kepada keselamatan mereka.
Apa yang dilakukan terhadap GSF bukan insiden terasing. Ia merupakan lanjutan daripada pendekatan sistematik rejim Zionis dalam menjustifikasikan tindakan kejam melalui naratif palsu.
Sepanjang serangan ke atas Gaza yang semakin kerap sejak Oktober 2023, Israel berulang kali mendakwa bahawa hospital, sekolah, pusat pelarian dan kem penempatan menjadi lokasi persembunyian pejuang Hamas.
Tanpa sebarang bukti konkrit, lokasi-lokasi ini dibedil, mengorbankan puluhan ribu nyawa rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Taktik ini berfungsi dalam dua hala: pertama, sebagai percubaan untuk mendapatkan ‘lampu hijau’ daripada masyarakat antarabangsa, terutama negara-negara Barat; dan kedua, untuk membentuk persepsi bahawa setiap tindakan Israel adalah ‘tindakan pertahanan’, walaupun hakikatnya ia adalah bentuk pelanggaran hak asasi manusia yang terang-terangan.

Dakwaan bahawa GSF tidak membawa bantuan adalah ironis, kerana ia datang daripada negara yang selama ini menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, termasuk bantuan yang dihantar melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti UNRWA.
Rejim Zionis bukan sahaja menyekat bantuan, malah turut menyerang konvoi bantuan dan kem pelarian yang dilindungi oleh undang-undang antarabangsa.
Lebih membimbangkan, taktik ini semakin berkesan apabila banyak media arus perdana antarabangsa masih gagal untuk menyoal naratif Israel secara kritikal.
Dengan kawalan naratif melalui media, diplomasi dan lobi politik, rejim Zionis berjaya mengekalkan imej ‘berhak mempertahankan diri’ walaupun setiap tindakannya bertentangan dengan norma kemanusiaan sejagat.
Dalam era maklumat, kebenaran sepatutnya mudah dicapai. Namun, konflik di Palestin membuktikan kuasa yang menguasai naratif boleh menentukan persepsi umum walaupun realiti di lapangan menunjukkan sebaliknya.
Inilah sebabnya mengapa pembohongan dan manipulasi menjadi ‘senjata’ penting dalam arsenal politik Israel.
Melalui penipuan bersiri ini, rejim Zionis cuba memadamkan fakta sejarah pencerobohan, penindasan dan pendudukan yang telah berlaku sejak 1948. Mereka ingin dunia lupa bahawa penubuhan Israel itu sendiri berdiri atas pengusiran besar-besaran rakyat Palestin daripada tanah air mereka, satu tragedi yang dikenali sebagai Nakbah.
Kebisuan dunia terhadap pembohongan ini adalah bentuk pengkhianatan terhadap prinsip keadilan dan kemanusiaan. Komuniti antarabangsa, termasuk pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, kerajaan-kerajaan berdaulat dan media global, mesti berhenti menjadi alat yang membantu menyebarkan naratif palsu Israel.
Setiap dakwaan yang dibuat perlu diteliti, disiasat dan jika terbukti palsu, didedahkan secara terbuka.
Media bebas, aktivis hak asasi, pertubuhan bukan kerajaan dan individu-individu berprinsip mempunyai peranan yang besar untuk membongkar kebenaran dan menegakkan keadilan. Dunia tidak boleh terus menjadi penonton yang pasif terhadap kezaliman yang diselindungi di balik propaganda politik.
Setiap pembohongan yang disusun rapi oleh rejim Zionis hanya akan membina tembok rapuh yang menanti masa untuk runtuh. Kebenaran tidak akan kekal tersembunyi.
Selagi ada suara yang berani bersuara, pena yang tidak tunduk, dan hati yang masih hidup dengan nurani, pembohongan ini akan terus dicabar.
Apa yang berlaku terhadap misi Global Sumud Flotilla hanyalah satu episod terkini dalam sejarah panjang penipuan dan penindasan Israel terhadap Palestin.
Namun, ia juga menjadi satu lagi titik tolak penting untuk membangkitkan kesedaran global bahawa rejim ini tidak boleh dibiarkan terus bermaharajalela tanpa pertanggungjawaban.
Kini, tanggungjawab itu berada di tangan dunia. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001