Oleh: Ismail Daud

RANTAU PANJANG – Masjid Mukim Pintu Cherang muncul juara apabila berjaya membelasah pasukan Masjid Banggol Kulim dalam Kejohanan Futsal antara Masjid Mukim peringkat Masjid Jamek Jubli Perak Sultan Ismail Petra yang diadakan di sini, hari ini.
Sebanyak 12 pasukan terlibat dalam kejuaraan tersebut melibatkan masjid sekitar Rantau Panjang.
Perlawanan lima sebelah dan tiga pemain simpanan sepasukan melayakkan empat pasukan meneruskan ke peringkat separuh akhir seterusnya dua pasukan layak ke peringkat akhir.
Masjid yang layak ke separuh akhir ialah masjid mukim Pintu Cherang, Banggol Kulim, Padang Licin serta Kedai Lama berkesudahan masjid Pintu Cherang dan Banggol Kulim layak ke peringkat akhir.
Keputusan perlawanan akhir memihak kepada masjid mukim Pintu Cherang 2 – 0 Banggol Kulim.
Gol-gol berjaya dihasilkan dengan rembatan kencang Hakim Bakri seawal tiga minit permainan diikuti pemain Iwan Ghazali pada minit ke- 13.
Perasmian dan penyampaian piala pusingan serta hadiah kejohanan disampaikan Ustaz Armin Azahari Mamat, Imam 1 masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah swt, kita telah berjaya melangsungkan kejohanan futsal antara masjid dengan penuh semangat kesukanan, ukhuwah dan disiplin. Acara ini bukan sekadar pertandingan, tetapi medan memperkukuh silaturahim antara komuniti masjid, menyemai semangat kerjasama dan memperkasa gaya hidup sihat dalam kalangan umat Islam.
“Suasana perlawanan hari ini meriah sungguh, apabila imam, AJK masjid, veteran dan anak muda semua turun padang, itu bukan sekadar futsal tapi itu lambang perpaduan ummah,” katanya.
Armin turut menyampaikan hadiah kepada pasukan tempat ketiga, masjid Padang Licin serta Kedai Lama (keempat).
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa hadapan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Dalam kejohanan tersebut, pemain, Ismail atau lebih dikenali Gee Golok muncul pemain terbaik.

Dengan itu masjid mukim Pintu Cherang berjaya membawa pulang piala pusingan serta wang RM500 manakala Banggol Kulim (RM300) selaku naib johan serta Padang Licin (ketiga) bernilai RM200.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001