Meta dalam proses akhir peroleh lesen kelas ASP - Fahmi

Fahmi bincang rakan sejawat usaha bawa filem Malaysia ke pasaran ASEAN

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat dari ASEAN dalam masa terdekat untuk membuka peluang lebih luas bagi membolehkan filem Malaysia menembusi pasaran serantau.

Beliau berkata, langkah itu selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu usaha memperkukuh kedudukan filem tempatan di pasaran antarabangsa dipergiat.

“Perdana Menteri mengarahkan saya mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat di negara ASEAN untuk memastikan filem Malaysia terutamanya boleh pergi jauh.

“Saya akan minta pihak kementerian susuli (perkara ini) dan kita akan adakan pertemuan serta perbincangan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Fahmi berkata, antara perkara akan diketengah pada pertemuan itu ialah isu yang dihadapi penerbit dan pengedar filem, selain cara mempermudah serta melicinkan proses kemasukan filem Malaysia ke negara ASEAN lain.

“Mungkin untuk satu filem yang kita hantar, di pihak negara ASEAN juga ingin menghantar filem ke Malaysia.

“Jadi, kita akan bincang walaupun terdapat aspek ekonomi dan aspek pasaran bebas tetapi pada masa sama, kita mungkin ingin usahakan beberapa filem dihantar keluar,” katanya.

Mengulas sokongan kerajaan terhadap industri kreatif, beliau berkata, sebanyak RM31 juta diperuntuk di bawah Dana Kandungan Kreatif (DKK) merangkumi 11 skim utama.

Fahmi berkata, setakat ini, sebanyak 116 penerbitan sudah direalisasikan menerusi dana berkenaan, sekali gus mencipta lebih 2,600 peluang pekerjaan.

“Baru-baru ini, filem ‘The Fox King’ arahan Woo Ming Jin yang menerima sokongan DKK berjaya mengharumkan nama negara di Festival Filem Antarabangsa Toronto yang ke-50 dan Festival Filem Busan.

“Jadi, saya percaya ini adalah usaha yang baik dan perlu kita tingkatkan,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *