Oleh: Ismail Hashim Yahaya
Setiap kali bulan Ogos menjelang, langit Malaysia mula dihiasi dengan Jalur Gemilang yang berkibar megah di bangunan, sekolah dan kenderaan. Ia adalah saat di mana sejarah dan harapan bertemu dalam warna merah, putih, biru dan kuning—lambang perjuangan, perpaduan dan cita-cita sebuah bangsa merdeka yang berdaulat.
Namun, dalam keghairahan menyambut Hari Kebangsaan, kita dikejutkan dengan insiden pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial dan mencetuskan puluhan laporan polis.
Ia bukan sekadar kesilapan teknikal, tetapi isyarat bahawa sesuatu sedang terbalik berlaku dalam komunikasi dan kesedaran kita sebagai rakyat.
Jalur Gemilang bukan sekadar bendera. Ia adalah bahasa visual yang menyampaikan sejarah, identiti dan harapan.
Dalam semiotik komunikasi, simbol seperti bendera berfungsi sebagai penanda emosi kolektif di mana ia boleh membangkitkan rasa bangga, marah, kecewa atau harapan bergantung pada konteks penggunaannya.
Bila ia dikibarkan secara terbalik, mesej yang dihantar kepada khalayak ialah “sesuatu tidak kena”.
Sama ada tindakan itu lahir daripada kejahilan, protes atau sikap sambil lewa, ia tetap mencetuskan reaksi yang mendalam kerana simbol negara telah disentuh secara tidak wajar.
Media sosial mempercepatkan penyebaran maklumat, tetapi juga memperbesar reaksi emosi.
Dalam kes ini, visual bendera terbalik menjadi pemicu naratif nasional yang kuat melebihi fakta sebenar.
Komunikasi visual yang tular tidak hanya menyampaikan maklumat bahkan membentuk persepsi, emosi dan tindakan.
Namun naratif yang berulang saban tahun— “pekerja tersilap”, “tukang kebun tidak tahu”, “sukarelawan baharu keliru” menimbulkan kejanggalan. Adakah ini benar-benar kecuaian atau satu bentuk penghinaan simbolik yang dibiarkan berlaku tanpa kawalan?
Ramai pemilik premis yang terlibat mendakwa tidak sedar bendera dipasang terbalik oleh pekerja mereka. Ini menunjukkan jurang antara tindakan fizikal dan kesedaran simbolik.
Dalam komunikasi ini disebut sebagai gangguan makna—noise—yang menyebabkan salah tafsir atau konflik. Bila simbol negara diperlakukan tanpa kesedaran, komunikasi menjadi kosong. Ia tidak lagi menyampaikan nilai, tetapi hanya tindakan fizikal yang boleh ditafsir sebagai penghinaan, walaupun tanpa niat.
Contohnya, insiden di sekolah rendah dan premis swasta yang berulang menunjukkan bahawa simbol negara telah hilang dari ruang kesedaran awam. Bila makna tidak lagi dijaga, jati diri mula terhakis.
Lebih membimbangkan, insiden ini telah mencetuskan pertikaman lidah antara parti politik yang memperlihatkan bagaimana simbol negara boleh menjadi alat retorik jika tidak ditangani dengan adab dan kebijaksanaan.
Dalam sesetengah kes, pengibaran terbalik mungkin bersifat protes. Ia menjadi tindakan politik yang menggunakan simbol negara untuk menyampaikan ketidakpuasan.
Dalam konteks ini, komunikasi bukan hanya tentang menyampaikan maklumat, tetapi tentang mencabar autoriti dan struktur makna. Namun, tindakan ini tetap mencemarkan simbol negara dan boleh menimbulkan ketegangan sosial.

Maka komunikasi protes perlu disandarkan pada etika dan kesedaran agar ia tidak menjadi penghinaan terhadap kedaulatan tetapi seruan kepada pemulihan.
Ketika negara bersiap menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-68, insiden pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik muncul berulang kali di pelbagai lokasi—sekolah, premis swasta dan pejabat awam.
Walaupun banyak pihak menyatakan ia berlaku secara tidak sengaja, kejanggalan naratif ini tidak dapat dinafikan. Seperti yang ditegaskan oleh RTM, jika kesilapan ini terus berulang, ia bukan lagi kecuaian tetapi “benak”—tanda bahawa kesedaran simbolik telah hilang dari jiwa rakyat.
Dalam semiotik komunikasi pengulangan naratif yang sama tanpa pembetulan sistemik menunjukkan kegagalan dalam menyampaikan makna dan membina kesedaran.
Reaksi kerajaan terhadap insiden ini bersifat pelbagai. Menteri Perpaduan Negara menyeru agar tindakan tegas diambil dan mengingatkan bahawa pengibaran bendera secara salah adalah satu kesalahan di bawah Akta Lambang dan Nama 1963.
Polis pula telah membuka siasatan di bawah tiga akta, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan menghantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Ahli Parlimen Kapar mencadangkan agar audit menyeluruh dilakukan terhadap pemasangan Jalur Gemilang di semua agensi kerajaan dan sekolah. Namun tindakan ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai reaktif dan bersifat pentadbiran bukan pemulihan makna.
Bagi rakyat yang menyaksikan insiden ini kesannya bukan sekadar rasa kecewa tetapi juga kebimbangan terhadap keharmonian nasional.
Ia boleh mencetuskan salah faham, menggugat semangat patriotisme dan memberi kesan kepada perpaduan rakyat.
Lebih-lebih lagi apabila insiden ini berlaku dalam suasana sambutan kemerdekaan ia seolah-olah mencemarkan ruang simbolik yang sepatutnya menjadi tempat pertemuan antara sejarah dan harapan.
Untuk membina semula komunikasi yang bermakna, kita perlu pendekatan yang berlapis dan berakar.
Kempen “Makna di Sebalik Simbol” boleh digerakkan melalui seni, puisi, dan naratif sejarah untuk menghidupkan semula makna Jalur Gemilang. Dialog awam tentang simbol dan jati diri perlu dibuka agar rakyat bukan sekadar melihat bendera, tetapi merasai maknanya.
Insiden Jalur Gemilang terbalik bukan hanya mencetuskan kemarahan lebih jauh lagi membuka ruang untuk refleksi nasional.
Ia mengingatkan kita bahawa komunikasi bukan hanya tentang kata-kata, tetapi tentang makna dan makna bukan hanya tentang niat lebih mendalam lagi tentang kesedaran kolektif.
Dalam setiap helaian Jalur Gemilang, ada bahasa jiwa bangsa. Bila ia terbalik, kita perlu bertanya: apa yang telah terbalik dalam komunikasi kita sebagai sebuah negara?
Dan dalam usaha menyambut kemerdekaan, kita bukan sekadar membetulkan arah bendera lebih mendalam lagi membetulkan arah makna. Ini kerana kemerdekaan sejati bukan hanya soal kebebasan fizikal tetapi tentang kemampuan kita untuk berkomunikasi dengan jiwa yang merdeka, berakar dan bermaruah.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001