Iran tidak akan hentikan program nuklear

WASHINGTON – Iran tidak akan menghentikan program nuklearnya, termasuk proses pengayaan uranium meskipun loji berkaitan mengalami kerosakan serius akibat serangan udara Amerika Syarikat (AS) bulan lalu.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menyatakan komitmen itu ketika rancangan temu bual ‘Special Report with Bret Baier’ terbitan Fox News.

Tegas beliau, buat masa ini, kegiatan untuk mempertingkatkan kandungan uranium itu terpaksa dihentikan buat sementara susulan kerosakan teruk yang dialami.

“Namun, sudah tentu kami tidak boleh menyerahkan begitu sahaja usaha ini kerana ia adalah hasil kejayaan saintis kami sendiri,” katanya, sambil menyifatkan pencapaian itu sebagai satu kebanggaan negara.

Beliau turut menekankan bahawa sebarang perjanjian nuklear pada masa akan datang perlu merangkumi hak untuk terus melakukan pengayaan uranium.

Apabila ditanya sama ada bahan uranium yang diperkaya berjaya diselamatkan daripada serangan itu, Araghchi menjawab bahawa beliau tidak mempunyai maklumat terperinci.

Namun, Pertubuhan Tenaga Atom Iran kini sedang menilai tahap kerosakan terhadap bahan dan fasiliti nuklear negara itu.

AS sebelum ini melancarkan serangan udara ke atas tiga fasiliti nuklear Iran pada 22 Jun lalu bagi menyokong serangan ketenteraan Israel yang berlarutan selama 12 hari.

Antara sasaran utama ialah tapak pengayaan uranium bawah tanah Fordow yang terletak di selatan Tehran.

Presiden AS, Donald Trump, berulang kali menyifatkan serangan itu sebagai satu kejayaan dan memaklumkan bahawa ketiga-tiga tapak berkenaan sudah dimusnahkan sepenuhnya.

Kenyataan Araghchi itu dikeluarkan ketika Tehran dijadual mengadakan rundingan baharu berhubung program nuklearnya bersama Jerman, Perancis dan United Kingdom (UK) di Istanbul pada Jumaat ini.

Berhubung rundingan dengan AS bagi meredakan ketegangan di rantau itu, Araghchi berkata pihaknya terbuka untuk berbincang, tetapi bukan secara langsung buat masa ini.

“Kami bersedia mengambil sebarang langkah membina keyakinan bagi membuktikan bahawa program nuklear Iran adalah bertujuan damai,” tambahnya, sambil meletakkan syarat bahawa sekatan ekonomi AS perlu ditarik balik.

Dalam pada itu, Araghchi turut mengesahkan bahawa Iran akan meneruskan usaha membangun dan menghasilkan peluru berpandu.

Meskipun beberapa siri peluru berpandu sudah dilancarkan ke arah Israel, diikuti dengan serangan balas oleh Israel ke atas pangkalan dan pelancar milik Iran, beliau menegaskan bahawa pihaknya masih mempunyai sejumlah besar peluru berpandu untuk mempertahankan diri.

Menjawab soalan mengenai keadaan kesihatan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang jarang muncul sejak serangan Israel bermula, Araghchi berkata beliau berjumpa dengan pemimpin tertinggi itu hari ini dan beliau berada dalam keadaan sangat baik serta sihat. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *