JOHOR BAHRU – Dua calon dari Kelantan memenangi jawatan peringkat kebangsaan dalam pemilihan Jawatankuasa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sempena Persidangan Agung Tahunan GPMS kali ke-71 di Johor Bahru hari ini.
Timbalan Pengerusi GPMS Kelantan yang juga Yang Dipertua GPMS Kota Bharu, Nik Saiful Adli Burhan menang jawatan Pengerusi Tetap, manakala seorang lagi calon Othman Abd. Manan memenangi jawatan Ahli Majlis Tertinggi.
Nik Saiful Adli, 37, sebelum ini merupakan penyandang jawatan Timbalan Pengerusi Tetap dan pernah menyandang jawatan Naib Presiden menyertai GPMS sejak 2006 serta pernah mencipta sejarah menjadi Pengerusi GPMS Negeri Kelantan paling muda pada usia 23 tahun.

Othman, 30, pula sebelum ini adalah penyandang jawatan Ahli Majlis Tertinggi dan mengekalkan jawatan tersebut dengan mendapat undian tertinggi iaitu 349 undi daripada keseluruhan 391 perwakilan.
Bagi jawatan Pengerusi Tetap pula, tiada pencalonan lain diterima sehingga jam 12 malam semalam menjadikan Nik Saiful Adli satu-satunya calon dan diisytiharkan sebagai menang tanpa bertanding.
Persidangan dua hari berakhir hari ini berlangsung di Savanna Hill Resort, Johor Bahru, yang dihadiri 391 perwakilan dari seluruh negara.
Dalam persidangan tahun ini juga, GPMS Negeri Kelantan telah diundi sebagai penganjur bagi Persidangan Agung Tahunan GPMS tahun 2026 dan bakal menjadi tuan rumah selepas lebih 30 tahun tidak diberi peluang menganjurkan persidangan sedemikian. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001