MELAKA – Polis menahan seorang lelaki dalam senarai ‘orang dikehendaki’ bagi kes ugutan jenayah di Jalan Malim Jaya di sini, malam kelmarin.
Dalam insiden kira-kira jam 11 malam, lelaki itu ditahan bersama isterinya selepas gagal melarikan diri dengan memecut kenderaan dinaiki mereka sehingga merempuh kereta peronda polis (MPV).
Terdahulu, pasukan Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) serta Bahagian D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka mengesan suspek sedang memandu sebuah Proton Wira di sekitar Batu Berendam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek enggan memberi kerjasama dan terus memecut kereta dipandunya.
Berikutan itu, kata beliau, pasukan meminta bantuan MPV sebelum suspek berjaya ditangkap setelah kereta dipandunya merempuh sebuah daripada lima MPV.
“Ketika itu, isterinya turut berada dalam kereta terbabit. Lelaki itu cedera lebam di muka dipercayai akibat kemalangan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.
“Akibat perlanggaran itu, kereta dipandu suspek kemek di bahagian hadapan, manakala MPV jenis Honda Civic terbabit rosak pada bumper dan lampu hadapan pecah,” katanya dalam satu kenyataan.
Christopher berkata, hasil semakan mendapati suspek lelaki berusia 28 tahun dan isterinya berumur 27 tahun masing-masing memiliki 18 serta empat rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
Katanya, pasangan itu kemudian direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001