Didakwa bunuh penuntut, pasangan kekasih berdepan hukuman mati

SEPANG – Seorang penganggur dan teman wanitanya berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, di sini atas pertuduhan membunuh Maniishapriet Kaur Akhara, penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya, bulan lalu.

Tertuduh, M. Sri Darvien, 19, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Maniishapriet Kaur, 20, di sebuah kondominium di Persiaran Multimedia, Cyberjaya di sini antara jam 9.11 malam hingga jam 11.31 malam pada 23 Jun lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan disebat minimum 12 kali.

Sementara itu, teman wanita tertuduh, D. Thineswary yang juga berusia 19 tahun, didakwa bersubahat dengan Sri Darvien melakukan pembunuhan itu di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan ke atas tertuduh yang mengikuti Program Asasi Sastera, tahun pertama di universiti sama itu dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, manakala Sri Darvien diwakili peguam M. Manoharan dan Thineswary diwakili peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff.

Sementara itu, Datuk Rajpal Singh yang juga bapa saudara mangsa bertindak sebagai peguam pemerhati.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen termasuk laporan bedah siasat dan forensik pada 11 September depan.

Kedua-dua suspek itu tiba di mahkamah pada jam 8.54 pagi menaiki kenderaan pacuan empat roda secara berasingan.

Ahli keluarga mangsa dan kedua-kedua tertuduh dilihat turut berada di mahkamah bagi mengikuti prosiding hari ini yang bermula pada jam 9.52 pagi.

Pada 24 Jun lalu, Maniishapriet Kaur ditemukan dengan kesan kecederaan di kepala oleh rakannya dalam bilik penginapan disediakan pihak pengurusan universiti di sebuah kondominium di Cyberjaya.

Susulan itu tiga individu termasuk suspek utama ditahan dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis diterima pada 24 Jun lalu.

Mereka ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Johor Bahru, Johor dan Gemencheh, Negeri Sembilan masing-masing pada 25 dan 26 Jun, manakala seorang lagi suspek ditahan keesokan harinya.

Bagaimanapun dua suspek dibebaskan dengan jaminan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan dijadikan saksi pendakwaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *