TUMPAT – Keputusan Tengku Zafrul Abdul Aziz menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi kesan langsung terhadap kedudukannya sebagai wakil UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua Penerangan UMNO Tumpat, Mejar Bersekutu (PA) Che Muhammad Redzuan Jihad berkata, adalah wajar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan pelantikan seorang menteri baharu yang setia dan masih aktif dari kalangan parti itu.
“Pelantikan itu perlu bagi mengisi kekosongan kuota UMNO dalam Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.
“Meskipun keputusan Tengku Zafrul ini dilihat sebagai pilihan peribadi, yang beliau gambarkan sebagai usaha mencari “keserasian”, namun tindakan tersebut memberi kesan langsung kedudukannya sebagai wakil UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
“UMNO adalah sebuah parti yang tersusun, berdisiplin dan memiliki barisan kepimpinan yang meluas serta berkualiti di pelbagai peringkat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, terdapat ramai tokoh berpengalaman, berwibawa dan layak diberi kepercayaan untuk menyumbang dalam kerajaan selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
“Saya menyeru agar ahli serta penyokong parti tidak berasa bimbang atau terganggu dengan perkembangan ini, yang saya anggap sebagai satu perkara kecil.
“UMNO tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu secara mutlak untuk terus kuat dan kekal relevan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“UMNO boleh diibaratkan seperti sebuah rumah kukuh yang kita bina bersama. Kehilangan seorang penghuni tidak akan meruntuhkan pelan asal rumah tersebut,” katanya.
Malah kata Che Muhammad, penghuni yang keluar itu mungkin memilih jalan sendiri, namun rumah UMNO tetap teguh dan utuh.
“Semoga Allah SWT terus merahmati perjuangan UMNO dan menggantikan kehilangan ini dengan sosok pemimpin yang lebih setia dan berkaliber,” kata beliau. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
