Kepala air: Mayat pelajar UniSZA ditemukan tersangkut celah batu

SETIU – Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dilaporkan hilang dihanyutkan kepala air selepas berkelah bersama enam rakan di Hutan Lipur Lata Payung, Sungai Tong, ditemukan lemas.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd Zain Mat Dris mengesahkan perkara itu.

Mangsa, Abed Mifzal Azman, 22, ditemukan kira-kira jam 9.30 malam pada jarak satu kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Mohd Zain berkata, tinjauan di Lata Payung mendapati kawasan itu tidak selamat untuk aktiviti riadah buat masa ini kerana cuaca tidak menentu dan dikatakan sering berlaku kepala air.

“Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti di sungai atau lata di Setiu buat masa ini untuk mengelak risiko,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Sarizan Mohammad Sapawi berkata, Abed Mifzal ditemukan tersangkut pada celah batu oleh penduduk kampung.

“Operasi membawa keluar mangsa mengambil masa kira-kira 15 minit, dengan bomba membawa naik mangsa menggunakan pengusung khas dari tebing setinggi kira-kira 2.5 meter dari lokasi ditemukan,” katanya.

Terdahulu mangsa berasal dari Johor Bharu dan pelajar jurusan pengurusan perniagaan dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras akibat kepala air kira-kira jam 5.15 petang.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai berada di atas batu berhampiran tebing sungai dan cuba menyelamatkan diri ketika kepala air melanda, namun dihanyutkan arus deras.

Isnin lalu, seorang penuntut UniSZA, Ahmad Irfan Wan Abdullah Thani, 24, turut lemas selepas mandi di kawasan air terjun Lata Changkah di Setiu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *