YDP PIBG dan 2 guru tamat khidmat di MMRP

Oleh: Abd. Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Warga Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) memeriahkan majlis Ukiran Budi Sulaman Kasih bagi meraikan persaraan dua guru dan seorang Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, semalam.

Guru, Azlah Setafa, 58, dari Kampung Banggol Kulim di sini, bersara awal atas faktor kesihatan berkhidmat selama 38 tahun di MRRP dan setahun di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al-Fallah Sungai Suk, Kuala Krai.

Beliau sebelum ini sebagai guru disiplin dan mengajar subjek al-Quran mula bersara pada 1 Mei lalu.

“”Saya mengharapkan pelajar MMRP boleh menguasai al-Quran dengan baik dari segi makhraj dan tajwid agar ilmu yang dipelajari berjaya di dunia dan akhirat.

“Sebelum berundur diri, saya memohon ampun dan maaf jika ada salah dan silap sepanjang berada di sini,” katanya ketika berucap di hadapan pelajar di dewan terbuka MMRP.

Sementara seorang lagi guru, Fidaa’ Hanani Harun, 28, berasal Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, berpindah ke sekolah baharu Sekolah Kebangsaan St. Paul, Tanjung Tualang, Perak selepas sempat berkhidmat di MMRP selama hampir lima tahun, dua tahun sebagai pembantu kerani di pejabat yang dibayar gaji oleh pihak sekolah dan selebihnya sebagai guru bawah pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Alhamdulillah, baru-baru ini saya berjaya menjadi guru bawah pentadbiran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan ditugaskan mengajar pada pertengahan Februari lalu di Perak.

“Pesanan saya kepada semua, kita jangan mudah putus asa, teruskan berusaha. Kita tidak semestinya berada di bawah buat selama-lamanya. Orang yang berusaha bersungguh-sungguh adalah tangga kejayaan,” katanya.

Manakala Datuk Paduka Mohamad Awang, 74, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok turut diraikan selepas banyak jasa beliau selaku YDP PIBG selama hampir 11 tahun.

Kejayaan terbesar beliau sepanjang berkhidmat di MMRP ialah mendapatkan bangunan akademik baharu tiga tingkat, memperbesarkan masjid sekolah dua tingkat dan menyelesaikan tanah sekolah dengan penduduk kampung. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *