India serang madrasah didakwa milik kumpulan militan di tengah Pakistan

MURIDKE (Pakistan) – Rakaman video pada awal pagi semalam, menunjukkan kilauan cahaya terang dari sebuah madrasah kediaman penduduk Islam di luar Bahawalpur, di tengah Pakistan ketika India menyerang jirannya sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pelancong India di Kashmir.

Madrasah berkenaan dikatakan telah dikosongkan daripada pelajarnya beberapa hari lalu apabila spekulasi meningkat bahawa ia akan menjadi sasaran India.

Namun, keluarga Masood Azhar, pengasas kumpulan Jaish-e-Mohammed masih berada di sana, menurut kumpulan itu.

Sepuluh ahli keluarga Masood adalah antara 13 yang terbunuh dalam serangan itu, termasuk wanita dan kanak-kanak, menurut tentera Pakistan.

Ribuan hadir ke majlis pengebumian mereka di sebuah stadium pada hari yang sama, sambil melaungkan “Allahu Akhbar”.

“Kekejaman (Perdana Menteri India Narendra) Modi telah melampaui segala batas,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

“Kesedihan dan kejutan ini tidak dapat digambarkan,” kata ahli keluarga.

Lima daripada mangsa yang terbunuh adalah kanak-kanak, manakala selebihnya termasuk kakak Masood dan suaminya.

Tiada maklum balas diberikan mengapa keluarga itu masih berada di lokasi berkenaan.

Masood yang tidak kelihatan selama bertahun-tahun dan abangnya Abdul Rauf Asghar, timbalan ketua kumpulan itu juga tidak kelihatan menghadiri solat jenazah.

Jalan menuju ke lokasi itu ditutup selepas serangan.

Di bahagian utara, kira-kira setengah jam selepas tengah malam, empat peluru berpandu India mengenai sebuah kompleks besar di Muridke dalam tempoh enam minit, kata seorang pegawai kerajaan tempatan.

Serangan itu memusnahkan sebuah masjid dan bangunan pentadbiran bersebelahan serta mengakibatkan tiga orang tertimbus di bawah runtuhan.

Papan tanda di luar menggambarkan lokasi itu sebagai kompleks kesihatan dan pendidikan kerajaan, namun India mendakwa ia berkaitan dengan kumpulan militan Lashkar-e-Taiba (LeT).

Delhi dan Washington menyalahkan LeT atas serangan 2008 di bandar Mumbai, India yang mengorbankan lebih 160 orang.

LeT yang menafikan tanggungjawab atas serangan itu, telah diharamkan.

Serangan itu tidak menjejaskan bangunan lain di dalam kompleks berkenaan.

Seorang pegawai tempatan berkata, biasanya terdapat sehingga 3,500 kakitangan dan pelajar di lokasi itu, namun hampir semua telah dipindahkan dalam beberapa hari lalu kerana bimbang ia akan menjadi sasaran.

Hafiz Saeed, ketua LeT dan organisasi penggantinya, kini berada di penjara Pakistan sejak disabitkan kesalahan pada 2020 atas tuduhan pembiayaan keganasan.

Beliau mengatakan rangkaiannya, yang merangkumi 300 madrasah dan sekolah, hospital, syarikat penerbitan dan perkhidmatan ambulans, tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan militan.

Delhi menyatakan ia telah melancarkan serangan tepat sasaran terhadap dua ibu pejabat musuh militannya, sebahagian daripada apa yang digambarkan sebagai sembilan “kem pengganas” yang menjadi sasaran.

“Dalam tiga dekad yang lalu, Pakistan secara sistematik telah membina infrastruktur keganasan,” kata India mengenai serangan itu.

Pakistan pula menyatakan bahawa India telah menyerang enam lokasi, membunuh 26 orang dan mencederakan 46 orang lain, semuanya “orang awam yang tidak bersalah”. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *