Oleh Faiz Fadzil
SEKALI lagi negara diuji dengan isu pertindihan hak dan kepentingan antara kaum, dan kali ini lebih rumit kerana melibatkan isu agama yang sangat sensitif kepada penganutnya, baik Islam mahupun Hindu.
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman didakwa telah dibina lebih 100 tahun, manakala masjid di Jalan Masjid India ini adalah cadangan baharu.
Kedua-dua pihak mempunyai hujah dan merit untuk mempertahankan hak masing-masing. Maka, saya menyeru semua pihak untuk memberikan ruang kepada pihak-pihak mencari solusi damai yang menang-menang dan tidak perlu diapi-apikan isu ini bagi mengelak konflik kaum berlaku.
Rahmah bukanlah bermaksud kita mengalah, tetapi mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengekalkan keamanan dan perpaduan kaum dalam negara ini sejajar dengan kehendak Islam.
Dalam surah al-An’am: 108, Allah mencegah kita menghina agama lain, yang bermaksud, “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu”.
Isu ini memberikan pengajaran kepada pentadbiran kerajaan di semua peringkat sama ada persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan untuk memperkukuhkan tatakelola dengan sentiasa peka kepada pembinaan rumah ibadat yang perlu hakmilik berdaftar.
Sepatutnya, setiap rumah ibadat perlu memperolehi hakmilik atau diberikan hakmilik bergantung kepada syarat dan kelulusan pihak berkuasa atau kerajaan. Maka, satu reform perlu dibuat dalam tatakelola perkara ini termasuk pengubalan satu undang-undang khas, yang mana perkara ini boleh juga dijadikan sebahagian cabang utama Akta Perpaduan Kaum yang masih belum digubal sehingga kini.
Walau apapun penyelesaian yang ingin dirunding dan dicapai, kedua-dua pihak berhak ke atas rumah ibadat.
Pihak syarikat yang membeli tanah tersebut secara sah mempunyai hak untuk membina masjid secara waqaf kerana ia adalah ibadat dalam Islam bagi mendekatkan diri kepada Allah.
Jika isu ini dibawa ke mahkamah, sudah pasti prinsip Torrens System akan mengatasi di mana hakmilik tanah adalah segala-galanya dan perintah perobohan kuil tersebut boleh diberikan.
Namun, adakah ia boleh menoktahkan polemik ini dan mengharmonikan rakyat dalam negara ini? – ND
Penulis, Faiz Fadzil adalah Setiausaha Agung Amanah
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001