Peneroka haram Yahudi makin ganas serang warga Palestin Tebing Barat - PBB

Peneroka haram Yahudi makin ganas serang warga Palestin Tebing Barat – PBB

16/03/2025

NEW YORK – Data kemas kini terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mendedahkan peningkatan serangan ganas peneroka haram Israel terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat.

Semalam, seorang lelaki berusia 21 tahun maut ditembak berhampiran Nablus di utara Tebing Barat, dengan tentera Israel mendakwa mangsa adalah suspek.

Omar Abdelhakim Daoud menjadi mangsa terkini meninggal dunia dalam operasi tentera Israel bermula sejak 21 Januari lalu menyasarkan kumpulan bersenjata di bahagian utara Tebing Barat.

Menurut data OCHA, sebelum kes tembakan terkini, seramai 74 rakyat Palestin dan tiga tentera Israel maut sejak operasi itu bermula.

Kementerian Kesihatan Palestin pula melaporkan, sejak serangan Oktober 2023, sekurang-kurangnya 911 rakyat Palestin dibunuh Israel di Tebing Barat oleh tentera atau peneroka haram Yahudi.

“Daoud meninggal dunia akibat tembakan pasukan penjajah di kampung Salem, timur Nablus,” kata kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin.

Seorang jurucakap tentera Israel pula mendakwa kepada AFP ‘beberapa pengganas’ membaling batu ke arah tentera Israel yang beroperasi di kawasan itu, dan satu sasaran sudah ditembak.

Jelas OCHA, dari 4 hingga 10 Mac lalu dua rakyat Palestin cedera, manakala lebih 1,400 kambing dan biri-biri dicuri atau dibunuh, selain lebih 380 pokok zaitun serta pokok buah dimusnahkan dalam 16 serangan oleh penjarah Israel .

Angka rasmi Israel dalam tempoh sama pula menunjukkan, sekurang-kurangnya 32 orang Israel, termasuk tentera maut dalam serangan oleh rakyat Palestin atau semasa operasi tentera di Tebing Barat.

Sementara itu, penduduk Palestin di Khirbet al-Marajim, di bahagian tengah Tebing Barat pula berkata, mereka diserang semalaman oleh peneroka haram Yahudi, manakala rakaman AFPTV semalam menunjukkan beberapa rumah dan kereta hangus terbakar.

Salah satu serangan menunjukkan peneroka haram Yahudi berpakaian seragam tentera menyerbu jemaah Palestin ketika mereka sedang menunaikan solat di sebuah masjid di Khirbet Tana, Nablus.

Dalam satu lagi serangan semalam, peneroka haram Yahudi membakar dua rumah, menyebabkan dua keluarga Palestin termasuk seorang bayi dan kanak-kanak kecil kehilangan tempat tinggal.

Kemas kini PBB itu turut mencatatkan, serangan oleh peneroka haram Yahudi ke atas komuniti Badui Ras Ein al Auja meningkat dengan ketara sejak Januari 2024, dengan sejumlah 110 kes direkodkan.

Komuniti Badui dikelilingi oleh peneroka haram Yahudi dan ternakan atau infrastruktur air yang kritikal menjadi sasaran secara berkala.

Laporan Al-Jazeera pula menyatakan, bot perang tentera Israel yang dikerahkan di luar pantai Gaza selatan melepaskan tembakan ke arah kawasan Rafah.

Setakat ini, tiada korban dilaporkan dalam serangan itu, yang dilihat menjadi pelanggaran terkini terhadap gencatan senjata Gaza. Serangan itu menyebabkan kematian seorang nelayan Palestin selepas tembakan mengena botnya, semalam. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *