Graduan disaran jadikan keusahawanan sebagai pilihan kerjaya

Graduan disaran jadikan keusahawanan sebagai pilihan kerjaya

26/02/2025:

KUALA LUMPUR – Seramai 200 graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara diraikan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik.

Majlis yang masuk tahun ketujuh anjuran YBR itu menunjukkan peningkatan jumlah penuntut cemerlang setiap tahun.

Seramai 200 graduan ini menerima anugerah kecemerlangan dengan memperolehi pencapaian PNGK 3.5 ke atas.

Dalam majlis itu YBR memperuntukkan kira-kira RM200,000 dengan setiap peserta turut menerima sijil penghargaan selepas mereka menamatkan pengajian bermula Januari 2022 sehingga Ogos 2024.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick di Hotel Wyndham Grand Bangsar di sini.

Turut hadir, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang dan Lembaga Pemegang Amanah YBR serta Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Sementara itu, Ewon dalam ucapannya berpandangan anugerah itu dapat membuka mata masyarakat mengenai bantuan pendidikan di bawah YBR, sekali gus memberikan suntikan semangat kepada penuntut untuk mencapai kejayaan di peringkat pengajian tinggi.

Beliau turut berharap untuk melihat semua penerima anugerah itu berjaya dalam kerjaya masing-masing termasuk yang memilih usahawan sebagai kerjaya.

“Kementerian dan agensi ini menyediakan pelbagai skim khusus untuk graduan dan anak-anak muda menceburi sektor keusahawanan. Semoga lebih ramai graduan dan anak muda menyahut cabaran bekerjaya sebagai usahawan.

“Ini sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang lain.

“Saya juga menghargai inisiatif konsisten YBR dan Bank Rakyat dalam melengkapkan usaha pelbagai institusi lain dalam membangunkan gerakan pendidikan negara, termasuk memberi tumpuan tambahan kepada anak-anak keluarga B40 dan yang berdaftar dalam e-Kasih,” katanya.

Manakala Philip dalam kenyataannya pula berkata, ganjaran wang tunai bernilai RM1,000 tiap seorang graduan yang berjaya itu sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menunjukkan pencapaian terbaik sepanjang tempoh pengajian.

“Semoga anugerah ini memberi inspirasi kepada mereka yang masih meneruskan pengajian dan merupakan tanda sokongan YBR dalam agenda pendidikan bagi melahirkan modal insan mahir kepada negara,” katanya.

Daripada 200 graduan itu, 150 graduan adalah peringkat Ijazah Sarjana Muda manakala 50 lagi dari peringkat Ijazah Sarjana.

Mereka yang menerima anugerah itu diharapkan dapat memberi dorongan serta memotivasikan graduan untuk lebih berjaya di masa akan datang.

Sementara itu, dalam majllis sama juga, seramai 25 pelajar terbaik matrikulasi menerima biasiswa YBR untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Inisiatif itu, kata Philip adalah jalinan usahasama Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan (BMKPM) yang bermula sejak 2022 untuk memberikan suntikan semangat kepada pelajar terbaik matrikulasi dapat belajar dalam suasana pembelajaran yang selesa.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan 75 pelajar terbaik matrikulasi telah mendapat Biasiswa Pendidikan YBR sehingga kini.

“Untuk makluman, seramai 25 pelajar terbaik matrikulasi terpilih setiap tahun bagi menerima biasiswa YBR untuk program biasiswa YBR-BMKPM. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *