Oleh: Mohd. Shah Abdullah
KLANG – Umat Islam di Malaysia semakin cenderung kepada pendekatan ekstrimisme dan asabiyah, kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurutnya, kempen sentimen dan emosi berbentuk perkauman serta agama nyata semakin membarah begitu juga pendekatan dalam beragama.
Banyak pihak yang sewenang-wenangnya bersandar kepada fitnah dan fakta yang memesongkan sehingga membentuk persepsi palsu atas nama kaum dan agama.
“Islam menyeru umatnya untuk meninggalkan sifat ekstrimisme dan asabiyah, sebaliknya menegakkan keadilan, persaudaraan dan toleransi.
“Nilai-nilai ini penting dalam membina masyarakat yang harmoni dan saling menghormati,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Nasional 2024 AMANAH, di salah sebuah hotel di sini.
Konvokesyen tersebut yang turut dihadiri Timbalan Presiden, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof, Naib-Naib Presiden serta Ahli Jawatankuasa serta perwakilan AMANAH dari seluruh negara.
Dalam ucapan yang bertemakan “Memupuk Kesederhanaan, Menolak Ekstremisme” Mohammad Sabu berkata, AMANAH amat bimbang dengan fenomena tersebut yang semakin menebal dalam masyarakat Malaysia.
Katanya, kempen perkauman disambut dengan emosi dan setiap kesilapan yang dilakukan oleh mana-mana kaum walaupun terpencil dijadikan bahan untuk mencemuh antara kaum.
“Kita masih ingat semasa kempen PRU15, anak-anak kecil di sekolah dihasut oleh guru-guru mereka bahawa sekiranya Pakatan Harapan memerintah, pakaian seragam sekolah akan ditukar kepada seluar pendek dan skirt.
“Kedudukan Islam akan terancam. Juga kempen kononnya ada 1.2 juta pelancong asing dari China yang memasuki Malaysia diberikan kewarganegaraan oleh kerajaan Malaysia. Masa depan Melayu terancam,” katanya.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, ekstrimisme agama dan asabiyah kini menjadi musuh utama dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu, harmoni dan sejahtera.
Katanya, amat malang sekali ada kumpulan yang mengapi-apikan semangat ekstrimisme dan asabiyah sehingga sanggup mempertikaikan akidah sesama orang Islam demi meraih sokongan politik.
Menurutnya, AMANAH mencadangkan Kementerian Perpaduan Negara diberi peruntukan khas untuk menggerakkan usaha mendidik masyarakat bagi membendung gejala tersebut
Dalam hal yang sama, AMANAH mahu semua pihak termasuk agamawan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menggembleng usaha menyebarkan mesej kesederhanaan sekali gus menolak ekstremisme dan asabiyah.
Mohamad berkata, AMANAH kekal berpegang kepada prinsip kesederhanaan dengan menolak sebarang bentuk ekstrimisme sama ada dalam bentuk identiti kaum dan agama. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1