PUTRAJAYA – Bazar Aidilfitri terbesar di Lembah Klang iaitu Anjung Syawal Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025 bakal kembali lagi untuk tahun ke-13 dengan menyediakan hampir 300 lot niaga sempena Ramadan tahun depan.
Penganjur yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal berkata, bertemakan ‘Memori Ramadan, Aspirasi Syawal’, pelbagai aktiviti dan juga reruai akan dibuka bermula 28 Februari depan sehingga ke ambang malam 1 Syawal.
Beliau berkata, konsep Anjung Syawal kali ini akan menonjolkan serta meraikan kekayaan budaya Melayu dan kesenian Islam yang menjadi tradisi turun temurun rakyat Malaysia terutamanya kebudayaan Melayu sama ada di bandar atau di kampung.
“Konsep Anjung Syawal kali ini bukan sahaja bertujuan mengekalkan warisan budaya Melayu, tetapi juga memasukkan elemen moden dalam sambutan Ramadan dan Syawal.

“Ia juga berhasrat bagi menghubungkan warisan budaya dengan inovasi masa kini dalam usaha menarik minat semua golongan masyarakat terutama generasi muda.
“Sebagai penganjur, kami mahu menerapkan rasa kecintaan terhadap tradisi dan terus menerus menghargainya walaupun masyarakat kini dilanda arus kemodenan digital serta budaya luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Rayme menambah, antara kelainan baharu Anjung Syawal apabila memperkenalkan segmen Pangkin Seni dan Serambi Santai bagi menyediakan pelbagai aktiviti kebudayaan dan ruang melepak untuk pengunjung beristirahat.
Menurutnya, bagi mengekalkan tarikan tahun ini, khemah lutsinar dan berlampu akan turut disediakan di kawasan Anjung Syawal untuk pengunjung berbuka puasa sebagai tarikan bazar itu.

Kata beliau, pengunjung juga tidak perlu bimbang kerana lebih 2,000 tapak parkir kenderaan disediakan bagi menampung jumlah pengunjung yang ramai disediakan di sekitar kawasan utama Presint 3.
“Dengan harga bayar yang rendah, kami berharap kemudahan parkir ini dijangka akan melegakan pengunjung untuk memudahkan urusan mencari barangan atau mengikuti aktiviti yang sudah disediakan.
“Antara kemudahan untuk pengunjung ialah menunaikan solat berjemaah dan solat sunat tarawih berhampiran lokasi iaitu Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, selain Bazar Ramadan di kawasan berdekatan,” katanya.
Beliau berkata, peniaga boleh mendapatkan booth jualan segera dengan harga berpatutan untuk berniaga selama lebih 30 hari.
“Jadi, jangan lepaskan peluang hadirkan diri ke Anjung Syawal FRP 2025 ini untuk merasai sendiri suasana meriah, santai dan unik yang mungkin tidak ada di tempat lain,” katanya.
Untuk maklumat lanjut serta tempahan ruang niaga boleh hubungi penganjur di talian +6013 508 6807 – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252