JOHOR BAHRU – Reman tiga suspek warga Vietnam bagi membantu siasatan kes dakwaan menculik seorang ahli perniagaan di sini pada 13 Oktober lalu, disambung tujuh hari lagi.
Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Chai Ing Hien berkuat kuasa esok hingga 6 November.
Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap semua suspek mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.
Ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia 30-an sebelum ini direman seminggu berakhir hari ini.
Semalam, mahkamah sama membenarkan reman terhadap 10 suspek termasuk dua wanita tempatan berusia 30 hingga 50-an yang berakhir semalam disambung tujuh hari sehingga 5 November.
Turut ditahan reman tujuh hari ialah suspek ke-14, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang ditahan di Senai, kelmarin.
Minggu lalu, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar mengesahkan polis menahan 13 individu berusia 23 hingga 58 tahun dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini.
Beliau dilaporkan berkata, seorang daripada suspek yang ditahan adalah ahli keluarga mangsa.
Terdahulu, ahli perniagaan mendakwa dilarikan sekumpulan individu ketika sedang menunggu perkhidmatan e-hailing di rumahnya kira-kira jam 5 pagi untuk ke lapangan terbang bagi urusan perniagaan di luar negara.
Mangsa berusia 59 tahun mendakwa dia dibebaskan pada hari sama selepas keluarganya membayar wang tebusan RM20 juta.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252