LISBON – Ruben Amorim berkata belum ada sebarang perjanjian buatnya untuk menjadi pengurus Manchester United selepas Sporting mengumumkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sedia membayar mereka klausa pelepasannya sebanyak 10 juta euro (RM47.2 juta).
Berita itu hadir sehari selepas pasukan itu memecat Erik ten Hag dengan United terdampar di tangga ke-14 dalam carta EPL.
Kelab itu mengharapkan jurulatih dari Portugal itu boleh mengendalikan pasukan bagi aksi liga menentang Chelsea di Old Trafford Ahad ini, namun Amorim tidak mahu mengesahkan apa-apa.
“Saya tidak ada apa-apa untuk diperkatakan sekarang, kami menganalisis di sini. Apa saja yang saya katakan akan mencetus lebih banyak bunyi bising,” kata Amorim pada sidang akhbar selepas Sporting menang 3-1 ke atas Nacional pada suku akhir Piala Liga Portugal awal pagi tadi.
“Tiada apa yang mahu diperkatakan mengenainya. Ada kenyataan kelab, setiap orang sudah mengetahui mengenainya. Ia sudah dikatakan oleh kelab. Selebihnya, kami tidak tahu butiran sebenarnya. Kami akan tunggu dan lihat.
“Ada hasrat di pihak kelab itu (United), yang berunding dengan Sporting, tetapi ia sering kali membabitkan keputusan saya. Bercakap mengenainya ketika ini hanya mencetus huru-hara buat kelab dan situasi keseluruhan ini.
“Saya tidak boleh janjikan apa-apa. Apa yang saya tahu saya akan berada di pusat latihan esok dan saya menyiapkan pasukan bagi aksi liga menentang Estrela da Amadora pada Jumaat.”
Beliau cuba untuk mengalihkan soalan kembali ke permainan tetapi beliau terpaksa mengulangi jawapan yang sama beberapa kali kerana wartawan terus bertanya kepadanya mengenai United.
Amorim, 39, yang muncul pilihan utama sejurus selepas pemecatan Ten Hag, mengemudi Sporting merangkul kejuaraan Primeira Liga pada tahun 2021, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan selama 19 tahun, sebelum menang kali kedua musim lalu.
Media Portugal melaporkan perlawanan terakhirnya bersama Sporting adalah menentang Nacional awal pagi tadi dan Amorim kemudiannya diramal berunding dengan United mengenai stafnya dan gaji. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252