Akta 852 nafas baru kepada generasi muda bebas rokok dan nikotin

Akta 852 nafas baru kepada generasi muda bebas rokok dan nikotin

KOTA BHARU – Ahli Parlimen Belia Malaysia, Che Muhammad Redzuan Jihad menyambut baik usaha kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) menggubal dan melaksanakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) mulai esok.

Katanya, ucapan tahniah wajar diberikan kerana langkah itu menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam melindungi kesihatan rakyat, terutama generasi muda daripada bahaya produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape.

“Akta ini membolehkan kawalan ketat terhadap penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam, termasuk rokok elektronik dan vape.

“Jika hari ini vape dan pelbagai peranti elektronik seperti rokok dicipta, tidak mustahil banyak lagi rekaan berbahaya akan muncul di pasaran suatu masa nanti.

“Tidak ada faedah untuk generasi muda negara ini, melainkan kepada peniaga yang tamak mengaut keuntungan semata-mata tanpa sedar merosakkan masa depan mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, KKM dalam kenyataannya memaklumkan Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari lalu akan berkuat kuasa serentak bersama Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawahnya, bermula hari ini.

Kenyataan itu menyatakan, penguatkuasaan akta berkenaan membabitkan beberapa aspek yang bakal dikuatkuasakan secara serta merta dan juga secara berfasa.

 Mengulas lanjut, Che Muhammad Redzuan yang juga Peguambela & Peguamcara menyifatkan yang menarik akta itu membolehkan larangan merokok bagi individu yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2007 juga dikuatkuasakan di bawah akta berkenaan.

“Peruntukan ini meletakkan sekatan secara total bagi generasi baru untuk mencuba aktiviti tidak berfaedah ini.

“Tabiat merokok di kalangan generasi muda termasuk yang masih di bangku persekolahan juga sedikit sebanyak menjadi pencetus kepada mereka ke arah penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

“Terlalu banyak kajian dan dapatan menunjukkan remaja yang mula merokok pada usia muda mempunyai risiko lebih tinggi untuk mencuba dadah lain seperti ganja dan dadah jenis stimulan serta boleh menimbulkan keinginan untuk mencuba bahan yang lebih kuat,” ujar beliau.

Jelasnya lagi, sekatan dari awal asaya lihat sedalah langkah paling tepat, walaupun agak keras.

“Amat tepat bagi kerajaan melalui KKM mengambil usaha untuk memperkenalkan akta ini yang memberi impak kepada kesejahteraan belia dan anak muda di Malaysia.

“Saya sebagai anak muda dan belia menyokong sepenuhnya akta ini demi masa depan anak muda yang lebih baik dan Sejahtera,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *