KUALA LUMPUR – Sebuah pesawat mendarat dengan selamat ketika angin kencang di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi semalam.
Kecekapan juruterbangnya mengawal pesawat Boeing 737 sehingga mencecah landasan dengan selamat menerima pujian dan reaksi positif netizen di media sosial.
Menerusi video berdurasi 29 saat dimuatnaik oleh Langkawi Kini di Facebook, pesawat itu menghampiri sudut landasan dan melawan angin lintang yang kuat.
Walaupun dalam keadaan yang mencabar, juruterbang itu mahir mengemudi pesawat, melakukan pendaratan yang selamat dan lancar.
“Kejadian di Langkawi semasa angin kencang tadi. Padu betul hampa kapten juruterbang. Jarang-jarang kita dapat tengok ni. Bayangkan bagaimana perasaan penumpang di dalam.
“Steady dan tahniah kapten atas pendaratan 10/10, Alhamdulillah,” menurut kapsyen di hantaran itu.
Tindakan mengagumkan itu turut membuatkan penonton kagum, dengan ramai yang memuji kemahiran luar biasa juruterbang itu di ruangan komen.
“Ini yang saya dengar tadi ketika ribut kuat. Alhamdulillah, mereka selamat mendarat. Suami saya pun cakap juruterbangnya hebat,” kata pengguna Fazilah Ahmad.
“Itu dia, pendaratan (ketika) angin lintang. Juruterbangnya hebat,” ulas Mawar D Abd Karim.
Sesetengah pengguna turut berkongsi pengalaman serupa ketika mendarat dalam keadaan angin lintang, mengingatkan detik cemas yang mereka rasai.
“Saya mengalami (keadaan) ribut sebegini ketika terbang dari Pulau Pinang ke Subang. Juruterbang selalu tidak dapat mendarat kerana cuaca sangat buruk, dan penerbangan terus naik dan turun, berpusing-pusing tidak tahu di mana.
“Anda boleh merasai ribut dengan ramai penumpang menangis dan muntah ketika itu. Hanya Tuhan yang tahu,” kata Umi Harmi Yati Shahrudin.
Jurugambar Aini turut berkongsi pengalaman sama.
“Kami melalui pengalaman yang sama. Semasa kami hendak mendarat di Langkawi, pesawat tiba-tiba naik semula dan berpusing berkali-kali. Setelah keadaan bertambah baik, kami selamat mendarat. Juruterbang melakukan kerja yang sangat baik,” katanya.
Dalam hantaran terbaru FB Langkawi Kini, turut menunjukkan kapten dan krew pesawat ketika membuat pendaratan ketika angin lintang di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252