Bab Dua
SELEPAS kejatuhan Kota Grahi, Jawaka dan Langkasuka ke tangan kuasa Siam, kerajaan dan keturunan Adruja Wijayamala Singha/Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I telah bergerak ke Pattani dan Kelantan sebagai sebahagian daripada kawasan pemerintahannya. Raja Sang Tawal masih menjadi pemerintahnya.
Kematiannya pada tahun 1335, telah meletakkan pemerintahan kerajaannya kepada anak lelakinya Raja Bharubhasa. Adruja Wijayamala Singha/Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I telah menubuhkan kerajaan Seri Indah Sekebun Bunga di Kuala Krai dan saudaranya yang lain, di tempat lain di Kelantan.
Dengan itu, Kelantan merupakan tapak terakhir keturunan Raja Sang Tawal membina kerajaan. Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I menjadi Raja Perempuan Kelantan yang pertama memimpin sebuah kerajaan yang diperuntukan kepadanya.
Pada suatu masa dahulu, Kelantan juga pernah dibenarkan nama Kalathana atau Medang Gana atau Tanah Serendah Sekebun Bunga. Claudius Ptolemy, seorang ahli bumi Yunani, pernah menyebut tiga nama tempat, iaitu “Kole Polis”, “Primula” dan “Tharra” yang terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu. Menurut G. E. Gerini, seorang sejarawan Itali bahawa “Kole Polis” terletak di Kelantan.
Beliau menganggap nama Kelantan ialah gabungan kata dari “Kolo” dengan kata “Thana” atau “Tanah” hingga menjadi “Kolathana” atau “Kolamtanah” atau “Kolantan”.
Sejak kurun keenam juga, catatan sejarah China telah menyebut Kelantan dengan pelbagai nama. Antaranya, catatan kerajaan Dinasti Liang (502-557M) dan Dinasti Tang (618-906M) menyebutnya sebagai “Tann-Tann”. Kerajaan Dinasti Sung (960-1279M) pula telah mencatatkan nama “Chi-Lan-Chau” atau “Chi-Lan-Tan” bagi negeri Kelantan.
Pada awal kurun ke-17, catatan China pula telah menyebut “Ko-lan-tan” atau Ku-lan-tan”. Selain “Tan-Tan” atau “Tann-Tann”, ada sebuah negeri lagi yang disebut-sebut oleh orang China iaitu “Chih-Tu” yang bererti Negeri Tanah Merah dan dikaitkan dengan Negeri Kelantan.
Pada kurun ke-11, kerajaan Kelantan Tua yang juga dikenali sebagai Medang Bhumi oleh orang tempatan, telah mulai lenyap. Ini kerana terdapat nama baharu yang mula digunakan. Menurut sebuah cerita lisan tempatan, bahawa pada suatu malam, orang kampung telah terdengar dan melihat suatu letupan pancaran cahaya yang sangat terang dan kuat menjulang ke langit di Bukit Panau, yang terletak tidak jauh dari Sungai Kelantan.
Cahaya itu berbentuk sebuah tudung saji. Pancaran sinar ini bukan sahaja dilihat oleh penduduk Kelantan, malah turun dilihat penduduk negeri-negeri lain di sekitarnya. Oleh kerana pancaran sinar ini mempunyai suatu pengertian rahsia, maka Maharaja Samphugitha yang memerintah kawasan itu mengubah nama negerinya menjadi “Medang Kilatan Saji”.
Orang Cap daripada kerajaan atau empayar Campa telah menggelarkan negeri Kelantan hingga sekarang dengan nama “Klanjengeh” ertinya cahaya yang terang benderang. Ini mungkin berasal dari peristiwa sinaran itu. Nama “Medang Kilatan Saji” itu kemudiannya menjadi “Kilatan” sahaja dan daripada nama ini akhirnya dipercayai menjadi Kelantan. Nama ini nyata terukir pada duit emas Kelantan bertarikh tahun 1181, ditulis dengan huruf Arab (K.L.T.N).
Dalam sebuah catatan sejarah China yang dinamakan Taoi Chih Lioh yang disusun pada tahun 1349 oleh Wan Ta Yuan, ada menyatakan bahawa negeri “Chi Lan Tuh” (yang dikatakan Kelantan) telah mengeksport timah, kulit kayu laka (seakan kulit kayu bakau), getah lebah, kulit kura-kura dan buah pinang.
Barang-barang diimport oleh negeri itu (Chi Lan Tuh/Kelantan) pula sebahagian besarnya ialah kapas, bahan tembikar, butir-butir kayu dan kaca yang berwarna warni dan alat-alat muzik. Menurut catatan itu juga, negeri Kelantan diketuai oleh seorang ketua (iaitu raja) yang sukakan upacara keramaian. Rakyatnya pula menanam padi dan pokok pinang serta membuat garam dari air laut, menangkap ikan, melombong bijih timah, mengutip serta mengusahakan bahan bahan keluaran hutan.
Orang lelaki dan perempuan di Kelantan pada masa itu memakai jambol dan sanggul, manakala pakaian mereka pula terdiri dari baju pendek dan sarung yang diperbuat dari kapas. Pada masa upacara perayaan mereka memakai kain lepas.
Penceritaan sejarah Dinasti Ming (1368-1644), yang berjudul Ming Shih yang ditulis oleh Chang Ting Yu pada tahun 1742, juga menyatakan keadaan negeri Kelantan pada kurun ke-15. Menurutnya, pada tahun 1411, Kelantan sudah mempunyai seorang raja yang memerintah yang bernama Maharaja Kumar. Baginda telah menghantar perutusan ke negara China untuk membawa ufti.
Pada tahun 1412 pula, Cheng Ho telah mendapat perintah dari Maharaja China untuk membawa surat dan hadiah kain sutera kepada Maharaja Kumar. Surat itu memuji Raja Kelantan yang baik tingkah lakunya.
Catatan sejarah itu juga menyebut bahawa pada masa itu Kelantan dipenuhi dengan cara hidup budaya Hindu-Buddha kerana terdapat banyak tokong dan rumah-rumah ibadat yang berunsur seperti itu. Banyak juga terdapat pokok pinang dan kelapa yang hidup subur. Hutannya pula sangat tebal. Ada ketikanya pula kelihatan gajah berkeliaran di sekitar rumah penduduk. Gajah merupakah pengangkutan utama masyarakat di situ.
Memang terdapat banyak teori yang telah dikemukakan mengenai sejarah asal usul nama negeri Kelantan. Satu teori terbaru pula mengatakan negeri Kelantan mendapat nama daripada nama kelewang panjang milik Adruja Wijayamala Singha, Raja Perempuan Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga. Nama kelewang panjang itu ialah Kilatan.
Menurut temubual secara lisan dengan Siri Neng Buah Tokoh Warisan Orang Hidup, nama Kelantan dikatakan berasal dari perkataan Kerat Lintang.
Sejarah negeri Kelantan juga tersebut dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Dicatatkan bahawa:
“Sultan Mahmud pun menitah Seri Maharaja menyerang Kelantan. Pada zaman itu negeri Kelantan itu terlalu besar; besar dari Pattani. Sultan Menawar Syah nama rajanya, anak saudara pada Sultan Iskandar Syah, anak cucu Raja Chulan. Maka Seri Maharaja pun pergilah dengan beberapa puluh hulubalang; setelah datang ke Kelantan, maka orang Melaka pun naiklah ke darat. Maka dikeluari oleh orang Kelantan, lalu berperang, beramuk-amukan, terlalu sabur. Rupa kilat cahaya senjata, seperti akan ke langit…, patahlah perang orang Kelantan, maka kota Kelantan pun alah… Maka anakanda Raja Kelantan tiga perempuan dapat, yang lelaki seorang lepas, Raja Gembuk namanya. Ketiganya tertawan oleh orang Melaka, seorang bernama Onang Kening, seorang bernama Cau Pa, seorang lagi bernama Cau Pauk. Maka, ketiganya dipersembahkan ke bawah duli Sultan Mahmud. Puteri Onang Kening itu diperisterikan baginda.
Peperangan itu berlaku antara tahun 1490 sehingga 1506. Dalam serangan itu, Sultan Mahmud Syah telah mengambil salah seorang puteri Sultan Mansur Syah Kelantan sebagai isterinya. Dua puteri lain dinikahkan dengan pembesarnya. Dipercayai bahawa Kelantan telah berada di bawah naungan Melaka dari kira-kira 1490 hingga tahun 1511, apabila Kota Melaka ditawan oleh Portugis.
Apabila Kesultanan Melayu Melaka berpindah ke Kampar, Sumatera, penguasaan terhadap Kelantan menjadi lemah. Kelantan menjadi sebuah kerajaan yang bebas dan terus membina kekuatannya sendiri. Namun kerajaannya tetap berhubung dan bersemenda dengan keadaan sekeliling termasuk dengan kerajaan negeri-negeri lain di Semenanjung. Warisannya tetap didukung oleh masyarakatnya sehingga kini. – NasionalDaily
BERSAMBUNG
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252