Politik Senyap Sejenak: Bila Mulut Rehat, Perut Pula Berfikir

Dari Meja Editorial

SEHARI dua kebelakangan ini, politik tanah air kelihatan agak jinak dan bersopan. Tiada lagi jeritan di pentas maya, tiada saling balas kenyataan berapi-api, tiada juga drama episod bersiri yang biasanya disiarkan setiap jam tanpa iklan. Masing-masing seolah sepakat untuk diam. Sunyi. Sepi. Macam politik sedang bercuti pendek.

Entah apa yang merasuk, tetapi untuk sementara waktu, tuding-menuding dan tuduh-menuduh dihentikan. Kata mengata direhatkan. Salah menyalahi dikunci mulutnya. Semua nampak sibuk buat hal masing-masing, atau sekurang-kurangnya berpura-pura sibuk demi kelihatan matang di mata rakyat.

Mungkin mereka akhirnya sedar berpolitik 24 jam sehari tidak menjana hasil, selain keletihan dan migrain kolektif. Mungkin juga baru terlintas di benak fikiran, air liur yang dihabiskan untuk bercakap politik tidak boleh ditukar menjadi nasi, dan slogan perjuangan tidak boleh dibancuh menjadi susu untuk anak isteri. Nak isi perut, kena kerja. Bukan sekadar berpidato.

Penjual ubat di kaki lima pun tahu berhenti bercakap selepas dua tiga jam membebel. Dia faham had tenaga dan had kesabaran pendengar. Bezanya, penjual ubat tidak menyalahkan pesaingnya setiap kali pelanggan tidak percaya. Dia sekadar bercakap, memujuk dan menjual harapan. Sama ada ubat itu mujarab atau tidak, itu cerita lain. Politik pula, bila letih bercakap, yang disalahkan tetap kawan dan lawan.

Sebelum reda sementara ini, suasana politik negara agak mendidih. Pas berkonfrontasi dengan rakan ikatannya sendiri, Bersatu. Sementara UMNO pula sibuk mencabar rakan gabungannya, DAP, seolah sedang bertanding debat sekolah menengah. Masing-masing mahu kelihatan paling berprinsip, walaupun prinsip itu berubah mengikut musim.

Yang sesekali menyampuk hanyalah AMANAH. Itu pun menyampuk dengan nada berlapik dan penuh adab, takut-takut rakan politik terasa hati. Walaupun ada seorang dua yang terlepas suara, teguran itu cepat diperlahankan, barangkali diingatkan dalam politik perpaduan, nada tinggi mudah dianggap derhaka.

Dalam kalut politik ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula kelihatan tekun menjalankan tugasnya. Beliau tidak terlalu ambil pusing perbalahan dan perdebatan yang berlegar di luar sana. Mungkin beliau sedar, negara tidak boleh ditadbir dengan kenyataan media semata-mata.

Sekarang bukan masanya untuk berpolitik, katanya secara tidak rasmi melalui sikapnya. Sekarang masanya bekerja. Nak berpolitik, tunggulah setahun dua lagi, sebab selepas itu, politik akan kembali menjadi kerja sepenuh masa menjelang pilihan raya umum. Seperti biasa.

Penggal Parlimen pasca Pilihan Raya Umum ke-15 ini boleh disifatkan sebagai penggal yang agak tenang dan waras, dibandingkan penggal ke-14 yang menyaksikan kerajaan bertukar seperti tukar siaran televisyen. Sekejap satu, sekejap yang lain, sampai rakyat pun pening.

Kalau dianalogikan dengan laut, inilah musim ombak tenang. Semua jenis perahu boleh turun mencari rezeki tanpa takut karam. Nelayan kecil, nelayan besar, semua boleh belayar. Kalau ada ombak pun, sekadar ombak kecil memukul tebing, cukup untuk basahkan kaki, bukan menenggelamkan kepala.

Gabungan Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), walau tidak sempurna, menjanjikan kestabilan yang lebih boleh diramal berbanding gabungan-gabungan sebelum ini yang rapuh dan mudah retak hanya kerana satu kenyataan media.

Hakikatnya, politik Malaysia tidak pernah benar-benar sunyi. Tetapi rakyat tetap menjalani hidup seperti biasa, pergi kerja, cari makan, urus keluarga, walaupun dibebani kos sara hidup yang kian mencanak. Kerajaan pula memperkenalkan pelbagai inisiatif dan bantuan, ada yang berkesan, ada yang sekadar penampal luka.

Namun, dalam segala keluhan itu, kita masih harus bersyukur. Negara ini tidak bergolak. Tiada tembak-menembak di jalanan. Tiada bom meletup setiap hari. Tiada rompak bersenjata yang menjadi rutin malam.

Di Malaysia, kita masih boleh pulang ke rumah lewat malam tanpa rasa cemas. Masih boleh tidur lena dari Isyak hingga Subuh tanpa bunyi siren atau letupan. Cuba bayangkan jika kita tinggal di negara yang setiap hari hidup dalam ketakutan, seperti Palestin, Nigeria atau wilayah konflik lain. Aman itu bukan pilihan, tetapi kemewahan.

Semua ini, suka atau tidak, menunjukkan satu hakikat: politik kita, walaupun bising dan adakalanya menjengkelkan, masih berada dalam keadaan stabil dan waras. Bila politik senyap seketika, itulah tandanya negara sedang bernafas.

Dan kadang-kadang, diam itu lebih menenangkan daripada seribu kenyataan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *