KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar terhadap penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo, akan diteruskan selepas proses pengantaraan gagal mencapai penyelesaian.
Peguam yang mewakili Mohd Na’im, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, usaha penyelesaian secara baik menemui jalan buntu selepas pihak defendan tidak bersetuju dengan terma-terma yang dicadangkan.
“Sehubungan itu, perbicaraan yang telah ditetapkan pada 21 dan 24 September ini akan diteruskan. Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 6 Mac sebagai tarikh pengurusan kes bagi membolehkan kedua-dua pihak memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perkembangan berkaitan penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kenneth Yoong Ken Chinson St James, yang bertindak sebagai pengantara.
Prosiding pengantaraan yang berlangsung selama kira-kira sejam itu turut dihadiri oleh Mohd Na’im dan Wan Muhammad Azri bersama peguamnya, Logen Eskandar Abdullah.
Mohd Na’im memfailkan saman berkenaan pada 19 Oktober 2023, mendakwa Wan Muhammad Azri telah menerbitkan satu hantaran berunsur fitnah terhadapnya menerusi akaun Facebook ‘Sir Azri’ pada 18 September 2023.
Menurut pernyataan tuntutan, defendan didakwa memuat naik satu klip video berdurasi enam minit 41 saat yang diambil daripada akaun TikTok ‘@nurhafizulbadrulhisham’.
Plaintif mendakwa kandungan tersebut membawa maksud beliau, selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), gagal mengambil sebarang tindakan positif berkaitan kesejahteraan agama Islam.
Selain itu, kenyataan berkenaan juga didakwa menggambarkan plaintif sebagai individu yang terpalit dengan tuduhan bersifat seksual atau lucah, sekali gus melabelkannya sebagai penunggang agama dan tidak peka terhadap kestabilan masyarakat Melayu Islam di negara ini.
Mohd Na’im mendakwa kenyataan tersebut telah menjejaskan reputasi, mencemarkan nama baik serta merendahkan maruah dan kedudukannya di mata masyarakat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
