Oleh: Bazli Razak
KUALA LUMPUR – Inisiatif pendidikan percuma kepada kira-kira 3,000 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) melalui pengecualian yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti bermula 2026 disifatkan sebagai langkah progresif dalam memperkasa pendidikan inklusif negara.
Dasar itu, yang diumumkan baru-baru ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan akses pendidikan tinggi yang adil, saksama dan berdaya mampan kepada semua lapisan masyarakat, khususnya golongan OKU.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq merangkap Pengerusi Task Force Media dan Keterlihatan Universiti Awam Malaysia berkata, pengecualian yuran tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan pelajar OKU dan keluarga mereka, malah membuka ruang yang lebih luas kepada mobiliti sosial dan pembangunan bakat.

“Langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan tinggi hanya kerana kekangan fizikal atau kewangan.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Task Force Media dan Keterlihatan Universiti Awam Malaysia yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.
Mesyuarat berkenaan antara lain membincangkan agenda kebajikan mahasiswa universiti awam, penyelarasan keterlihatan media Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) universiti awam, pengukuhan kemenjadian mahasiswa, pelaksanaan program berimpak tinggi di peringkat universiti awam, serta perangkaan pelan strategik media HEPA universiti awam.
Tambah beliau, dasar berkenaan turut memperkukuh peranan universiti awam sebagai pemangkin keadilan sosial serta penyumbang kepada agenda pembangunan insan negara.
“Universiti awam menyambut baik pelaksanaan dasar ini dan bersedia memperkukuh sokongan dari segi fasiliti, perkhidmatan kebajikan serta ekosistem pembelajaran yang mesra OKU,” ujar beliau.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff yang juga Pengerusi Majlis Naib Canselor Universiti Awam menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai manifestasi jelas aspirasi RPTM 2026–2035 dalam melahirkan sistem pendidikan tinggi yang inklusif, holistik dan berorientasikan kesejahteraan pelajar.

“Pengecualian yuran pengajian kepada pelajar OKU merupakan satu pelaburan jangka panjang negara dalam membangunkan modal insan yang berdaya saing dan berkeupayaan menyumbang kepada masyarakat.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar itu perlu disokong dengan pengukuhan prasarana, latihan warga universiti serta dasar sokongan yang menyeluruh bagi memastikan pengalaman pembelajaran pelajar OKU benar-benar berkualiti.
“UPSI komited untuk terus memperkasa pendidikan inklusif melalui penambahbaikan fasiliti, sokongan akademik dan kebajikan sejajar dengan aspirasi nasional,” katanya.
RPTM 2026–2035 antara lain memberi penekanan kepada jaminan akses pendidikan tinggi kepada pelajar cemerlang ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), usaha menjulang martabat Bahasa Melayu di persada antarabangsa, peluasan peluang kemasukan ke menara gading, penambahan kemudahan penginapan pelajar di IPTA, serta pelaksanaan pendidikan percuma kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin tegar.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
