Muhyiddin akan didakwa mengikut Akta Hasutan di mahkamah esok

Bersatu, PAS setuju mansuh jawatan pengerusi PN, kata Muhyiddin

PETALING JAYA – Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau tidak menerima sebarang notis atau jemputan bagi menghadiri mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan esok tetapi kini telah dibatalkan.

Dalam surat bertarikh 27 Januari, Muhyiddin turut mendakwa Bersatu dan PAS telah mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan pembangkang itu.

Menurutnya, persetujuan tersebut dicapai dalam satu pertemuan antara beliau dan pimpinan PAS pada 16 Januari lalu.

Muhyiddin berkata, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu akan menerajui Majlis Presiden PN, manakala PAS akan mengetuai jawatankuasa eksekutif.

Beliau menjelaskan bahawa Majlis Presiden akan menjadi badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan dasar PN, sementara jawatankuasa eksekutif bertanggungjawab menguruskan aspek pentadbiran.

“Kewujudan kedua-dua majlis amat penting bagi memastikan PN mengekalkan imej sederhana selaras dengan realiti masyarakat majmuk di Malaysia.

“Dengan penstrukturan ini, jawatan pengerusi PN dimansuhkan dan sebarang isu berkaitan pelantikan pengerusi PN tidak lagi timbul,” menurut kandungan surat tersebut.

Muhyiddin turut mendedahkan pertemuannya dengan Presiden PAS Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan pada 16 Jan lalu diadakan bagi membincangkan pelantikan pengerusi PN yang baharu.

Bekas perdana menteri itu meletak jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari susulan krisis politik di Perlis.

Menurut Muhyiddin, Hadi menegaskan PN perlu kekal sebagai satu gabungan yang mampu menarik sokongan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.

“Berdasarkan persefahaman itu, pimpinan PAS dan Bersatu bersetuju bahawa satu-satunya jalan untuk meredakan kemelut berhubung pelantikan pengerusi baharu PN ialah melalui penstrukturan semula gabungan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata pada 24 Jan beliau dimaklumkan Takiyuddin, selaku timbalan setiausaha agung PN, telah mengeluarkan jemputan bagi mengadakan mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN bagi membincangkan, antara lain, pelantikan pengerusi PN yang baharu.

Katanya, agenda itu tidak selari dengan persetujuan yang dicapai oleh pimpinan Bersatu dan PAS dalam pertemuan pada 16 Januari.

“Inilah sebab mengapa mesyuarat yang dijadualkan pada 29 Januari dibatalkan,” katanya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan berlangsung esok telah dibatalkan, dengan ketua-ketua empat parti komponen sebaliknya dijangka berkumpul di kediaman Muhyiddin.

Difahamkan, pertemuan pemimpin parti-parti itu merupakan mesyuarat awal bagi ‘menentukan hala tuju seterusnya’ sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang bagi mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan serta melantik penggantinya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *