RIYADH – Al Nassr mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Al Taawoun dalam aksi Liga Pro Saudi pada Isnin, biarpun gagal menyempurnakan pelbagai peluang yang dicipta sepanjang perlawanan.
Gol tunggal perlawanan hadir menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan Al Taawoun, Mohammed Waleed Al-Dossary, pada minit ke-45 separuh masa pertama.
Pada perlawanan itu, Al Nassr bermula garang seawal perlawanan apabila Cristiano Ronaldo hampir membuka jaringan kurang dua minit permainan, namun rembatan penyerang Portugal itu sekadar menggegarkan palang gol.
Pada minit ketiga, Mohamed Simakan menyangka telah meletakkan tuan rumah di hadapan selepas menanduk masuk sepakan percuma Ronaldo, namun jaringan tersebut dibatalkan kerana kedudukan ofsaid.
Malang terus menimpa Al Nassr, apabila gol Ronaldo turut dibatalkan pada pertengahan separuh masa pertama atas kesalahan sama, sekali gus menambah deretan peluang yang tidak menjadi buat Al Nassr.
Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai menjelang rehat apabila Sadio Mane melakukan hantaran lintang tinggi ke dalam kotak penalti. Cubaan Al-Dossary untuk mengeluarkan bola menggunakan tandukan tersilap percaturan apabila bola melantun masuk ke gawang sendiri, dengan Ronaldo bijak mengelak daripada menyentuh bola tersebut.
Bersambung separuh masa kedua, Al Nassr terus menguasai permainan. Mane hampir menggandakan kelebihan apabila rembatan kencangnya sekadar mengenai tiang gol kanan.
Ronaldo dan Joao Felix turut memperoleh peluang masing-masing, namun penyudah mereka gagal menemui sasaran apabila penjaga gol Al Taawoun berjaya melakukan beberapa tindakan cemerlang.
Tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan sehingga wisel penamat ditiup, sekali gus mengesahkan kemenangan 1-0 buat Al Nassr.
Kemenangan itu membolehkan Al Nassr mengumpul 40 mata daripada 17 perlawanan, menyamai kutipan mata Al Ahli, namun masih ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Al Hilal, yang terikat 1-1 menentang Al Riyadh sehari sebelum itu. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
