Oleh Rudy Sham Abdul Raof
SHAH ALAM – Dalam usaha memperkukuhkan kedudukan editorial Nasional Daily – portal harian negara – dalam industri media global, pihak pengurusan memutuskan untuk mendapatkan sentuhan ‘ajaib’ pakar komunikasi tanah air, Prof. Dr. Mohd Yahya Ariffin.
Pengerusi Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE) dan bekas Dekan Fakulti Kepimpinan serta Pengurusan (FKP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini dilantik selepas mendapat nasihat daripada seorang lagi Penasihat Editorial Nasional Daily, Mohd Shah Abdullah dalam satu pertemuan bersejarah bersama lembaga penerbitan portal berkenaan di sebuah hotel terkemuka di Shah Alam.
Menurut Mohd Shah, kehadiran dan kepakaran Dr. Mohd Yahya amat ditagih dalam memastikan perubahan penerbitan Nasional Daily mampu memberi impak yang luar biasa, sekali gus menjadikan platform media sosial ini berdiri sama tinggi dengan portal terkemuka negara yang lain.

“Kami amat bersyukur kerana Prof. Dr. Mohd Yahya menerima pelawaan kami dan saya percaya hadirnya beliau mampu beri sentuhan terbaik buat Nasional Daily,” kata Mohd Shah.
Sementara itu, Pengasas Nasional Daily, Manzaidi Mohd Amin, meletakkan keyakinan tinggi kepada Prof. Dr. Mohd Yahya memberi ilmu kepada semua pembaca sebagaimana kewibawaannya ketika berkhidmat di tiga universiti terkemuka negara – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan USIM.
“Saya amat gembira kerana seorang lagi cendikiawan negara hadir memantapkan portal yang saya asaskan sejak dua tahun lalu. Bukan mudah membawa masuk Dr. Mohd Yahya dalam organisasi ini kerana kita faham beliau seorang yabg amat sibuk. Tapi Alhamdullillah,” kata Manzaidi.
Dr. Mohd Yahya pula bersyukur diterima memasuki keluarga Nasional Daily dan berjanji memberi segala ilmu serta pengalaman yang ada untuk kemajuan portal ini.
Dr. Mohd Yahya adalah seorang profesor yang dilahirkan di Teluk Intan, Perak.
Beliau memegang Ijazah Kedoktoran (Ph.D.) dalam Perhubungan Awam dari UM, Ijazah Sarjana dalam Komunikasi dari UKM dan ijazah sarjana muda dalam Sastera (Komunikasi) dari universiti yang sama.
Jawatan tertinggi beliau dalam pentadbiran ialah sebagai Penolong Naib Canselor USIM sebelum menjadi Dekan FKP USIM dan bersara wajib pada April 2025. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

