Kabinet Dibina Atas Asas Lemah: Analogi Kayu, Kualiti dan Ketahanan Politik

Oleh: Rokaid Chik

DALAM dunia politik, asas sesuatu kerajaan ibarat rangka sebuah kabinet kayu. Kukuh atau rapuhnya sesebuah pemerintahan banyak bergantung pada bahan digunakan untuk membinanya, iaitu nilai, prinsip, integriti, pengalaman serta kestabilan para pemimpinnya.

Justeru, apabila dikatakan sebuah pasukan kabinet “dibina di jalanan”, maksud tersiratnya ialah struktur itu terbentuk melalui momentum populis, sentimen spontan atau gabungan yang tidak disandarkan pada kekuatan nilai yang kukuh.

Lalu, lumrahnya, kabinet sebegitu akan mudah kembali semula kepada sifat asalnya, iaitu tidak stabil, mudah goyah dan sering mencetuskan drama politik.

Kenyataan ini mungkin pahit untuk diterima, namun hakikat bahawa sesuatu yang dibina daripada asas yang rapuh lazimnya tidak mampu bertahan lama bukanlah suatu rahsia.

Dalam analogi kayu, kabinet yang dibina daripada kayu campur, kayu lebihan, kayu gred rendah atau kayu reject, memiliki rupa fizikal yang mungkin menarik pada awalnya, tetapi struktur dalaman tetap lemah.

Kayu sebegini tidak tahan lama, mudah dimakan anai-anai dan mampu retak atau gugur pada bila-bila masa.

Begitu juga sebuah kabinet politik yang dibina daripada ahli-ahli yang tidak sehaluan, berbeza prinsip, masuk atas kepentingan sementara atau sekadar mencari peluang diri.

Ia akan memperlihatkan tingkah laku yang bercelaru, melompat ke sana ke mari, membuat keputusan tidak konsisten dan kadangkala ada yang meletak jawatan secara mendadak tanpa penjelasan yang memuaskan.

Kadar kestabilan sentiasa bergantung pada suasana semasa, bukan kekuatan dalaman.

Mereka yang pernah bekerja di kilang papan, kilang perabot atau sawmill tentu memahami perbezaan jelas antara kayu campur dan kayu berkualiti tinggi.

Kayu campur bukan sahaja gred rendah, tetapi strukturnya tidak seragam, mudah retak dan tidak tahan cuaca. Anai-anai, bubuk dan faktor persekitaran dengan cepat menjejaskannya.

Begitulah simboliknya sesebuah kabinet yang asasnya tidak kukuh, mudah terhakis oleh tekanan politik, konflik dalaman, dan krisis nasional.

Sebaliknya, kabinet yang terbina daripada kayu berkualiti tinggi seperti cengal, seraya atau kuin bukan sahaja cantik, tetapi memiliki kekuatan dalaman yang tiada tandingnya.

Kayu jenis ini memerlukan masa lama untuk matang, justeru ia melambangkan kepimpinan yang terbentuk melalui pengalaman, integriti, kebijaksanaan dan ujian masa. Lebih istimewa lagi ialah kayu belian, kayu yang terkenal di Sabah dan Sarawak, berwarna gelap berkilat, tahan panas, tahan hujan dan digunakan pada zaman dahulu untuk membina istana serta kediaman pembesar negeri.

Kayu belian bukan sahaja simbol prestij, tetapi lambang ketahanan dan kewibawaan. Hanya struktur yang benar-benar mapan, tersusun dan mempunyai legitimasi kukuh akan menggunakan bahan sebegitu.

Analogi ini mengingatkan kita bahawa kepimpinan yang tahan lama mesti dibina dari bahan terbaik, iaitu pemimpin yang berkaliber, berdisiplin, berakhlak dan memiliki pandangan jauh terhadap masa depan negara.

Maka, apabila kita melihat fenomena kabinet yang tidak stabil, sering berubah, atau penuh drama, analogi kayu ini mengajar kita satu perkara: kekuatan sebenar kabinet bukan terletak pada bilangan kerusi, tetapi pada kualiti manusia yang membinanya.

Sebuah kabinet dengan asas kukuh akan berdiri teguh walau dilanda ribut politik. Tetapi kabinet yang asasnya rapuh akan sentiasa bergegar, berderit, dan akhirnya mungkin runtuh sebelum sempat menjalankan tujuan asalnya.

Dalam politik, seperti dalam kerja pertukangan, asas menentukan segala-galanya. Dan sejarah membuktikan bahawa hanya kabinet yang dibina daripada “kayu belian”, iaitu nilai yang benar-benar tinggi, akan kekal dalam memori negara sebagai pemerintahan yang dihormati dan bertahan lama. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *