I-BERHAD mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) tertinggi iaitu sebanyak RM26.8 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2025, meningkat 74 peratus berbanding RM15.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan turut merekodkan hasil sebanyak RM81.3 juta bagi suku berkenaan, disokong oleh prestasi kukuh dalam segmen pembangunan dan pelaburan hartanah, pengurusan kos yang berdisiplin serta pemulihan dana selepas penyelesaian beberapa fasa projek utama.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, I-Berhad mencatatkan pendapatan terkumpul RM205.6 juta dengan PBT RM53.4 juta, masing-masing meningkat 30 dan 96 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Segmen Pembangunan Hartanah terus menjadi penyumbang terbesar hasil kumpulan, dengan pendapatan RM42.1 juta, meningkat 51 peratus tahun ke tahun.
Pertumbuhan ini dipacu oleh pengebilan progresif projek BeCentral Serviced Residences serta jualan kukuh di i-City dan 8 Kia Peng.
Keuntungan sebelum cukai segmen ini melonjak lebih dua kali ganda kepada RM16.1 juta, berbanding RM5.9 juta pada S3TK2024.
Segmen Pelaburan Hartanah pula mencatatkan hasil RM6.8 juta dan keuntungan RM5.3 juta, meningkat 40 peratus tahun ke tahun, hasil sumbangan sewaan stabil daripada Mercu Maybank, pusat data dan aset tempat letak kereta di i-City serta peningkatan pendapatan Central i-City Mall.
Segmen Riadah dan Hospitaliti turut mengekalkan momentum positif dengan hasil RM31.8 juta, naik 16 peratus berbanding tahun sebelumnya, meskipun keuntungan sedikit terjejas kepada RM6.2 juta akibat peruntukan susut nilai lebih tinggi berikutan pelancaran tarikan baharu di taman tema i-City.
Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong menyifatkan pencapaian suku ketiga ini sebagai bukti keberkesanan strategi transformasi Kumpulan untuk menjadi platform pertumbuhan berbilang enjin berdaya tahan.
“Rekod PBT ini menyerlahkan kekuatan asas pendapatan berulang kami serta kejayaan pelaksanaan strategik dalam membina nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, baki Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah kira-kira RM5 bilion dalam i-City akan direalisasikan secara berperingkat, meletakkan Kumpulan dalam kedudukan kukuh untuk menjana pendapatan berterusan dan mengembangkan nilai asetnya.
Kim Hong turut menegaskan, fokus I-Berhad kini memperkukuh i-City melalui kecerdasan buatan (AI) dan robotik bagi memastikan bandar digital itu kekal peneraju pembangunan pintar di Malaysia.
“AI World, presint bandar pertama berteraskan AI di Malaysia, akan menjadi pemangkin fasa pertumbuhan baharu dengan penyepaduan infrastruktur pintar, platform digital dan pengalaman hidup serba moden.
“Ia akan menjadikan i-City penanda aras nasional bagi ekosistem bandar pintar era AI,” ujarnya.
Dalam masa sama, I-Berhad bersedia memperkenalkan Robotics-as-a-Service (RaaS) di seluruh portfolio hartanah pelaburannya bernilai RM1 bilion, langkah strategik untuk meningkatkan kecekapan operasi serta membuka peluang hasil baharu.
“Dengan menggabungkan automasi dan robotik berasaskan AI, kami bukan sahaja menambah baik pengalaman pengguna tetapi juga mengoptimumkan penggunaan aset dan memperkukuh daya saing jangka panjang,” jelas beliau.
Kim Hong yakin hala tuju strategik Kumpulan akan terus diperkukuh oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia yang stabil serta inisiatif kerajaan di bawah Bajet 2026 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Dengan baki RM5 bilion GDV yang akan direalisasikan menerusi teknologi AI dan robotik, kami yakin i-City akan terus berkembang sebagai destinasi bandar digital bertaraf dunia dan tercanggih di Malaysia,” tambah beliau.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

