Kumpulan I Juarai Pertandingan Lastik

Oleh: Abd. Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Kumpulan I muncul juara pertandingan lastik batang paip yang diadakan di hadapan Kedai Kopi Gundek, Kampung Gual To’ Deh, dekat sini, pagi tadi.

Pada pusingan awal, kumpulan tersebut mengutip lima mata sebelum bersaing sengit dengan kumpulan G dan akhirnya menewaskan lawan dengan agregat 8-7 pada pusingan kedua.

Pertandingan yang julung kali dianjurkan itu menarik penyertaan seramai 40 peserta melibatkan penduduk tempatan, dibahagikan kepada 10 kumpulan dari kumpulan A hingga J.

Setiap kumpulan diwakili empat peserta dengan masing-masing dibekalkan lima biji guli sebagai peluru.

Menurut penganjur pertandingan, Alias Ghazali, pemenang ditentukan berdasarkan jumlah kutipan mata tertinggi selepas semua pusingan tamat.

“Selain juara kumpulan, kategori pembidas terbaik turut diberikan kepada peserta yang berjaya mengutip mata tertinggi hasil bidasan tepat ke arah batang paip,” katanya ketika ditemui di sini.

Pembidas terbaik dimenangi Mohd Adnan Abdul Halim Suan dari kumpulan G dengan kutipan lima mata keseluruhan.

Alias berkata, sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung memberi semangat kepadanya untuk meneruskan aktiviti tradisi itu pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, sambutan amat baik daripada peserta dan penduduk kampung.

Aktiviti seperti ini bukan sahaja menghiburkan, malah dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

“Insya-Allah, pada penganjuran akan datang saya bercadang menganjurkan pertandingan secara perseorangan dengan setiap peserta dibekalkan 10 biji guli,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *