Tentera Israel halang hampir semua kapal GSF, cetus bantahan global

GAZA – Israel berdepan kecaman antarabangsa dan bantahan besar-besaran semalam selepas tenteranya memintas hampir semua daripada kira-kira 40 bot Global Sumud Flotila (GSF) selain menahan lebih 450 aktivis asing.

Rakaman siaran langsung dari kapal itu menunjukkan askar Israel lengkap bersenjata dengan topi keledar serta gogal penglihatan malam menaiki kapal, manakala penumpang duduk berkerumun dengan jaket keselamatan serta tangan diangkat.

Penunjuk perasaan pro-Palestin membanjiri jalan raya di bandar utama Eropah, selain di Karachi, Buenos Aires dan Mexico City bagi membantah tindakan Israel menangkap aktivis berkenaan, dua tahun selepas serangan ke atas Gaza bermula.

GSF, penganjur misi itu, memaklumkan lebih 450 sukarelawan ditahan dan sebahagian daripada mereka dipindahkan ke sebuah kapal kargo besar sebelum dibawa ke darat.

Namun, sebuah kapal dikenali Marinette masih ‘belayar gagah’, menurut penganjur dalam siaran langsung yang memaparkan kru sedang mengemudi bot berkenaan. Kapal itu berada kira-kira 80 batu nautika dari Gaza malam tadi, dan 10 batu nautika dari lokasi Israel mula memintas bot lain dalam flotila terbabit.

Thunberg, 22, yang terkenal dengan kempen alam sekitar, sempat merakam video sebelum kapalnya ditawan.

“Jika anda menonton video ini, bermakna saya telah diculik dan dibawa secara paksa oleh tentera Israel. Misi kemanusiaan kami bersifat aman dan mematuhi undang-undang antarabangsa,” katanya.

Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, berkata anggota flotila dijangka diusir pada Isnin dan Selasa serta dihantar ke ibu kota Eropah menggunakan penerbangan sewa khas.

Kementerian Luar Israel dalam kenyataan menyatakan semua tahanan flotila dibawa ke Pelabuhan Ashdod dan berada dalam keadaan selamat serta sihat.

“Hanya sebuah lagi kapal provokasi masih berada pada jarak tertentu. Jika ia menghampiri, percubaan memasuki zon pertempuran aktif dan memecahkan sekatan akan turut dihalang,” katanya.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, mengecam tindakan agresif Israel sambil menyifatkannya sebagai bukti kerajaan Israel tidak berniat membenarkan harapan keamanan tercapai.

“Saya mengutuk kekasaran terhadap GSF yang berlayar bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin tertindas dan menyelamatkan kanak-kanak yang kebuluran,” katanya dalam ucapan kepada pegawai Parti AK di Ankara.

Pejabat Ketua Pendakwa Istanbul memaklumkan siasatan dilancarkan berhubung penahanan 24 rakyat Turkiye di atas kapal berkenaan, lapor agensi Anadolu.

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, turut mendesak Israel segera membebaskan rakyat negaranya termasuk cucu mendiang Nelson Mandela, Nkosi Zwelivelile Mandela.

Menurut Suhad Bishara, Pengarah ADALAH, sebuah pusat hak asasi manusia di Israel, aktivis terbabit dijangka dipindahkan ke pihak imigresen sebaik tiba di Ashdod sebelum dibawa ke Penjara Ketziot di selatan Israel untuk proses pengusiran.

Tentera laut Israel sebelum ini memberi amaran flotila menghampiri zon pertempuran aktif dan melanggar sekatan sah, selain menawarkan untuk menyampaikan bantuan melalui saluran selamat.

Flotila itu adalah cubaan terbaharu memecahkan sekatan laut ke atas Gaza yang sebahagian besar wilayahnya kini musnah akibat perang hampir dua tahun.

Dalam kenyataan, Hamas menyatakan sokongan kepada aktivis terbabit dan menyifatkan pemintasan flotila sebagai ‘tindakan jenayah’, sambil menggesa masyarakat bangkit mengecam Israel.

Konvoi kapal berkenaan dipintas pada jarak kira-kira 70 batu nautika dari Gaza, dalam zon yang dipantau Israel bagi menghalang dihampiri sebarang kapal.

Penganjur berkata komunikasi mereka termasuk siaran langsung dari kapal telah diganggu. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *