“Mereka Tidak Pergi Untuk Populariti, Mereka Pergi Kerana Kemanusiaan”

Dari Meja Editorial

KHABAR mengenai semua kapal dan peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan oleh tentera Zionis Israel semalam, pastinya mengundang pelbagai reaksi.

Ada yang bersedih, ada yang marah dan paling malang, tidak kurang juga yang memperlekehkan usaha murni ini.

“Sudah tahu bahaya, kenapa pergi?”
“Buat kerja sia-sia saja, Israel takkan lepaskan.”
“Nak populariti la tu, masuk berita.”

Inilah antara komen sinis yang kini membanjiri media sosial. Bacaan sebegini bukan saja menyakitkan hati, malah memperlihatkan betapa dalam masyarakat kita, masih wujud kelompok yang memandang perjuangan dari sudut sempit, skeptikal dan penuh prejudis.

Perlu difahami, GSF bukan pelayaran kosong tanpa arah. Ia adalah satu inisiatif global yang disertai oleh aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, Turki, Jordan, Algeria, Indonesia dan lain-lain.

Tujuannya adalah untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan secara terus ke Gaza, melalui laut, sebagai satu cara menolak dasar sekatan haram Israel ke atas Palestin.

Mereka tahu risikonya. Mereka tahu sejarah misi-misi flotilla terdahulu, termasuk tragedi Mavi Marmara pada 2010, tapi mereka tetap pergi, kerana mereka sedar, diam itu juga satu bentuk normalisasi terhadap kezaliman.

Jika kita tidak bersama mereka, jangan kita mudah menghukum. Mereka yang menyertai GSF bukan calang-calang orang. Ada doktor, sukarelawan, aktivis masyarakat, ilmuan dan pemimpin NGO.

Mereka tinggalkan keselesaan hidup semata-mata untuk berlayar ke zon konflik, bukan untuk populariti, tetapi untuk membawa suara rakyat Gaza ke hadapan dunia.

Justeru, tanya pada diri kita, apa yang kita lakukan untuk Gaza selama ini?
Jika hanya sekadar “scroll” berita dan “like” satu dua posting, apakah kita cukup layak untuk mencerca dan mencemuh mereka yang benar-benar bertindak?

Ya, benar. Misi ini ditahan. Kapal tidak sampai ke Gaza. Tapi adakah itu bermaksud misi mereka gagal? Tidak. Malah, setiap kali flotilla dihentikan secara paksa, ia membongkar wajah sebenar rejim Zionis yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa.

Ia membuka mata dunia bahawa sebuah negara penjajah sanggup menyerang misi kemanusiaan tanpa sebarang rasa malu.

Perjuangan bukan semata-mata soal berjaya atau gagal. Ia adalah soal keberanian untuk melawan ketidakadilan, walaupun tahu mungkin kita kalah di medan dunia, tetapi menang di sisi Tuhan.

Tiada siapa melarang kita untuk tidak bersetuju dengan pendekatan flotilla. Tetapi bezakan antara tidak setuju dan mencaci. Bezakan antara berbeza pandangan dan merendahkan perjuangan.

Kalau kita tidak mampu menyertai, tidak mengapa.
Kalau kita tidak mampu menyumbang wang, tidak mengapa.
Tapi jangan kita menyumbang cercaan. Jangan kita jadi golongan yang hanya tahu mengutuk dari tepi.

Mereka sedang buat sesuatu. Kita pula? Tugas kita adalah doa, sokong dan didik.

Kepada yang membaca ini, marilah kita muhasabah. Dunia hari ini sedang menyaksikan penderitaan yang amat dahsyat di Gaza. Ribuan terbunuh. Hospital musnah. Anak-anak yatim merata. Apa yang kita mampu buat?

Jika tak mampu turun ke medan, doakanlah.
Jika tak mampu beri bantuan, sebarkan kesedaran.
Jika tak mampu jadi suara, jangan pula jadi pembunuh semangat.

Kerana dalam perjuangan, bukan semua kita ditakdirkan berada di hadapan. Tapi kita semua ditakdirkan untuk memilih sama ada berdiri di sisi keadilan atau mendiamkan diri bersama penindasan.

Kita sering mengagumi sejarah para pejuang Islam dahulu kala, para sahabat yang berperang di medan, para ulama yang melawan penindasan, tokoh-tokoh kemanusiaan yang menulis dengan darah dan air mata.

Tapi bila melihat orang zaman ini buat perkara yang sama, kita tuduh mereka gila, cari glamor, sia-sia. Kenapa begitu?

Mungkin sudah tiba masanya kita keluar dari mentaliti sinis ini.
Kita tidak perlu menjadi hero untuk menyokong perjuangan.
Cukup jadi manusia yang masih punya belas, empati, dan doa. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *