KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan pemergian bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun, sebagai satu kehilangan besar buat dunia kewartawanan negara.
Dalam satu catatan di Facebook malam tadi, Fahmi berkata, sepanjang hayatnya, Allahyarham banyak menyumbang kepada pembangunan industri media, menjadikan Allahyarham antara tokoh yang disegani.
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Dunia kewartawanan kehilangan seorang lagi personaliti besar dengan pemergian Datuk Hishamuddin Aun, bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP.
“Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” katanya.
Hishamuddin meninggal dunia akibat radang paru-paru (pneumonia) di Hospital Sultan Idris, Serdang, kira-kira 7.45 malam tadi, selepas lebih sebulan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat, Kajang, hari ini.
Allahyarham Hishamuddin dilantik sebagai Pengarang Kumpulan Berita Harian selama tiga tahun bermula 2003 hingga 2006, berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sukan serta hampir sedekad berkhidmat di Astro Arena. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001