Aktivis Malaysia Musa Nuwayri dakwa ditahan Israel di perairan antarabangsa

“KERANA jika kalian menonton video ini, bermakna saya Musa Nuwayri (Delegasi Malaysia) di Kapal Alma sudah ditahan secara tidak sah oleh rejim Israel di perairan antarabangsa”.

Itulah mesej rakaman yang tular hari ini, dipercayai dirakam sebelum aktivis kemanusiaan Malaysia, Musa Nuwayri, ditahan oleh tentera laut Israel dalam insiden pemintasan flotila bantuan ke Gaza.

Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Syria Malaysia, merupakan salah seorang daripada 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) – konvoi kemanusiaan antarabangsa yang membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan mesej solidariti ke Gaza.

Kapal Alma yang dinaiki beliau dilaporkan telah dipintas bersama lima lagi kapal oleh tentera Israel di perairan antarabangsa pada Rabu malam.

Menurut laporan media Israel termasuk Channel 13, tentera telah menaiki kapal-kapal tersebut dan menahan ramai aktivis.

Namun, penahanan berlaku ketika Israel berada dalam penutupan hampir menyeluruh sempena cuti Yom Kippur, menyebabkan sistem mahkamah dan penjara tidak beroperasi.

Ini mencetuskan kebimbangan terhadap status undang-undang aktivis yang ditahan, termasuk Musa Nuwayri.

Rakaman video yang dimuat naik sebelum pemintasan berlaku dipercayai sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya komunikasi terputus.

Dalam video tersebut, Musa menyatakan bahawa jika ia ditonton, maka beliau telah ditahan secara tidak sah oleh rejim Israel.

GSF dalam kenyataan rasmi menyifatkan tindakan Israel sebagai pencabulan undang-undang laut antarabangsa dan hak asasi manusia, memandangkan kapal-kapal tersebut berada di perairan antarabangsa dan tidak bersenjata.

Mereka turut mendakwa sistem komunikasi kapal telah diganggu secara sengaja bagi menghalang siaran langsung dan isyarat kecemasan.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini telah menyatakan sokongan penuh terhadap misi GSF dan berhubung secara langsung dengan Musa Nuwayri dalam panggilan video sebelum insiden berlaku.

Setakat ini, status sebenar Musa dan aktivis lain masih belum disahkan.

Pihak berkuasa Malaysia dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut dalam masa terdekat.

GSF menegaskan bahawa walaupun sebahagian kapal telah dipintas, pelayaran mereka akan diteruskan demi rakyat Gaza dan solidariti global.

 Sementara itu, seramai 13 rakyat Malaysia di atas lima kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) terputus hubungan dengan Sumud Nusantara Command Center (SNCC), lapan termasuk Zizi Kirana disahkan ditahan tentera Israel setakat 6 pagi waktu Malaysia.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *