Warga Kemboja didenda RM900, guna kekerasan jenayah, keluar kata-kata kesat di KLIA

SEPANG – Seorang lelaki warga Kemboja didenda RM900 oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap dua petugas syarikat penerbangan pada 28 September lalu.

Majistret Khairatul Animah Jelani membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah Lin Weida, 42, setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Ejen pelancongan itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap pegawai keselamatan Batik Air, Sheikh Muhammad Syafiq Sh Khalid di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.50 malam 28 September lalu mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan itu, Khairatul Animah mengenakan hukuman denda RM800 atau penjara sebulan.

Weida juga didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap kru kabin Batik Air, Yuszai Yusof pada hari sama kira-kira jam 5.20 petang dalam penerbangan OD606 dari Hong Kong ke KLIA Terminal 1 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100 dan bagi kesalahan ini, mahkamah mengenakan hukuman denda RM100 atau penjara sebulan.

Tertuduh membayar denda yang dikenakan ke atasnya bagi kedua-dua kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam M. Sivam. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *