PAS Semakin Mendominasi, Kerajaan Madani Bergelut Kekalkan Sokongan: PRU16 Ujian Terbesar

Dari Meja Editorial

Manzaidi

SUASANA politik Malaysia kini berada diambang perubahan besar apabila Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semakin diasak tekanan, bukan sahaja dari dalam dewan, malah dari luar – dalam bentuk keresahan rakyat, kemerosotan keyakinan dan pertumbuhan sokongan kepada pembangkang, terutama PAS.

Setelah hampir tiga tahun mentadbir Putrajaya di bawah panji Kerajaan Madani, tanda-tanda ketidakpuasan terhadap gabungan pemerintah kini semakin jelas.

Janji-janji reformasi yang pernah menjadi sandaran sokongan rakyat pada PRU15, seperti pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penghapusan rasuah dan pengukuhan institusi, belum membuahkan hasil yang diyakini oleh masyarakat umum.

Lebih meresahkan, masalah kos sara hidup yang terus membebani rakyat marhaen iaitu dari harga beras, ayam dan sayur sehinggalah kepada keperluan asas lain, yang dilihat tidak ditangani dengan pendekatan tegas dan berkesan.

Kenyataan bahawa kerajaan ini dibentuk hasil kompromi politik pasca PRU15, setelah tiada parti mendapat majoriti, menjadi titik kelemahan struktur pemerintahannya.

Gabungan pelbagai parti dengan ideologi berbeza, termasuk UMNO yang sebelum ini menjadi musuh ketat PH, menimbulkan tanda tanya terhadap prinsip perjuangan yang asal.

Rakyat melihat bagaimana pemimpin UMNO yang berdepan kes mahkamah masih diberi jawatan tinggi dalam kerajaan, termasuk sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ini menjejaskan imej reformis yang dicanang oleh pemimpin utama kerajaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malah, terdapat dalam kalangan penyokong PH sendiri yang sudah secara terbuka menyuarakan ketidakpuasan dan kekecewaan mereka terhadap hala tuju kerajaan kini.

Di tengah kekeliruan dan kekecewaan ini, PAS tampil sebagai satu-satunya parti yang kelihatan stabil, teratur dan konsisten dalam pendekatan politiknya.

Parti yang dahulunya dilihat hanya kuat di kawasan pantai timur dan utara Semenanjung, kini dilihat semakin mengembangkan pengaruhnya secara strategik.

PAS yang merupakan tunjang kepada Perikatan Nasional (PN) telah berjaya mencipta momentum besar sejak PRU15 dan beberapa pilihan raya negeri (PRN) yang menyusul.

Parti itu kini menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah, malah menunjukkan prestasi kukuh di negeri seperti Perlis serta Pahang.

Lebih menarik, dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar, PAS berjaya menonjolkan diri sebagai parti yang bersih daripada skandal, sederhana dari segi gaya hidup dan dekat dengan denyut nadi rakyat.

PAS bukan sahaja dilihat sebagai parti agama, tetapi kini sebagai parti yang berprinsip, teratur dan bebas daripada kepentingan elit.

Sementara itu, rakan sekutu PAS dalam PN iaitu BERSATU, kini dilihat semakin lemah dari segi struktur dalaman. Kepimpinan parti yang tidak stabil, pertikaian dalaman antara kem Muhyiddin dan beberapa tokoh lain serta skandal berkaitan pengurusan dana kerajaan seperti Jana Wibawa, menjejaskan imej dan kepercayaan awam terhadap parti itu.

Akibatnya, PAS kini memikul peranan utama dalam PN, bukan sahaja sebagai “mesin undi”, tetapi sebagai wajah utama alternatif kepada Kerajaan Madani.

Terdapat sumber menyatakan bahawa PAS kini bersiap sedia untuk meletakkan lebih daripada 112 calon Parlimen, iaitu jumlah minimum kerusi untuk membentuk kerajaan persekutuan secara sendiri.

Jika ini menjadi kenyataan dan PAS berjaya memperoleh sokongan besar, ia bakal mencipta sejarah sebagai parti tunggal Melayu-Islam pertama yang mengemudi kerajaan pusat tanpa bergantung kepada gabungan pelbagai kaum seperti PH atau BN.

Pertembungan pada PRU16 dijangka membentuk dua naratif besar yang saling bertentangan:

  • Kerajaan Madani (PH-BN-GPS-GRS) akan menekankan kestabilan politik, perpaduan kaum, dasar ekonomi inklusif dan keterbukaan kepada pelaburan asing.
  • PAS dan PN pula bakal menekankan nilai integriti, kepimpinan berlandaskan agama, kecekapan pentadbiran negeri serta ketegasan terhadap gejala sosial dan moral.

Kedua-dua pendekatan ini punya kekuatan tersendiri, namun dalam konteks Malaysia yang kini berdepan krisis kos sara hidup dan kelesuan ekonomi rakyat, naratif moral dan sederhana seperti yang dibawa PAS semakin menarik perhatian golongan bawah dan pertengahan.

Walaupun gelombang sokongan kepada PAS dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar amat jelas, parti ini masih perlu memecah tembok persepsi di kalangan pengundi bandar, kelas menengah dan bukan Melayu.

Kebimbangan terhadap kecenderungan ekstremisme agama, ketidakupayaan mentadbir ekonomi makro serta pengurusan negeri seperti Kelantan, yang masih dibelenggu isu air dan infrastruktur, menjadi titik kelemahan yang perlu dijawab secara tuntas oleh PAS jika mahu diterima sebagai kerajaan pusat.

Namun begitu, trend semasa menunjukkan sentimen “protes senyap” rakyat terhadap kerajaan sedia ada kini kian merebak dan ini membuka ruang yang luas kepada PAS untuk memperluas pengaruhnya.

Justeru, PRU16 dijangka menjadi referendum rakyat terhadap tiga tahun pemerintahan Kerajaan Madani. Ia bukan sekadar pertandingan antara dua blok politik, tetapi perlawanan antara keyakinan dan kekecewaan, antara janji dan bukti serta antara harapan dan realiti.

Jika trend semasa berterusan, dan PAS terus bergerak secara teratur, berstrategi serta inklusif dalam pendekatannya, tidak mustahil PAS bakal menjadi kuasa politik dominan pada PRU16, bahkan peneraju Putrajaya.

Rakyat kini menilai lebih daripada sekadar manifesto. Mereka menilai siapa yang paling boleh dipercayai untuk membela nasib mereka dalam dunia yang semakin mencabar.

Pilihan rakyat pada PRU16 bukan sekadar tentang siapa yang memerintah, tetapi siapa yang benar-benar memahami apa erti memimpin. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *