Oleh Rudysham Abdul Raof
‘SEMEMANGNYA pelantikan ini seolah-olah memberi nafas baru buat diri saya dalam mengangkat darjat pengguna ke tahap lebih tinggi, sekali gus menjadikannya sebagai landasan kukuh untuk terus berkorban demi mereka,’ kata Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) yang baharu, Mohd Khair Ngadiron.
Selaku badan penasihat lantikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusnya Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali bagi sesi 2025-2026, menyaksikan pelbagai individu berpengaruh terutama dalam bidang akademik, media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kepenggunaan menjadi taruhan untuk terus mendekati pengguna ke tahap optimum.
Justeru, tidak hairanlah nama Mohd Khair yang juga Pengerusi TV Al Hijrah diangkat selaku pengerusi baru kerana keprihatinannya membantu kerajaan.
Apatah lagi pengorbanannya untuk negara bukan perkara baru kerana beliau pernah memegang jawatan Timbalan Dekan Matrik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hampir sedekad dengan melahirkan ramai pelajar cemerlang.
“Saya tidak pernah impikan jawatan tertinggi ini, namun apabila diberi tugasan sudah pasti saya perlu lakukan dengan penuh komited, tambahan pula ia membabitkan perihal pengguna yang sentiasa dahagakan kebaikan.
“Halatuju saya sudah pastilah memberi nasihat kepada kerajaan berhubung hak dan kehendak pengguna terpelihara sebagai termaktub dalam dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“Saya berterima kasih kepada Datuk (Armizan) yang memberi kepercayaan kepada saya dan pasukan. Ini saya pengiktirafan dan amanah kepada barisan MPPN dalam usaha perkasakan suara pengguna serta membantu Kerajaan dalam hal berkaitan kepenggunaan serta kos sara hidup rakyat,” kata Mohd Khair Ketika ditemui di pejabatnya di Cyberjaya, baru-baru ini.

Selain beliau selaku Pengerusi, KPDN turut melantik barisan bagi sesi 2025-2026, antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna dan Pengurusan), Datuk Amran Ahmad; Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Sri Dr. Irmohizam Ibrahim; Ketua Pegawai Operasi Media Prima, Datuk Mohd Afendi Omar.
Selain itu, Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Paduka Dr. Kevy KV. Yeo; Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber Manusia Fakulti Ekologi Kemanusiaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Zumilah Zainalaludin; Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. Saravanan Thambirajah; Dr. Afendi Dahlan (Naib Presiden Malaysia Retail Chain Association); Pengarah Eksekutif Third World Networking, Chee Yoke Ling.
Presiden Malaysia Cyber Consumer Association (MCCA), Mohd Sirajuddin Jalil; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mageswari A/P Sangaralingam; Pengarah Strategik KRA Group, Amir Fareeds Abdul Rahim; Naib Presiden Persatuan Retailers (MRA), Yong Eng Kwang turut dilantik KPDN.
Mohd Khair berkata, cabaran pengguna hari ini tidak lagi terhad kepada harga barang di pasar kerana ia meliputi isu lebih besar, terutama dalam isu kos sara hidup, pengangkutan, perumahan, kesihatan, pendidikan dan cabaran digital.
“Kita berdepan fenomena baharu seperti e-dagang “buy now pay later’, perlindungan data peribadi serta penipuan siber. Semua ini sudah pasti menuntut kebijaksanaan dan keberanian,” jelas beliau.
Atas sebab itu, kata Mohd Khair, MPPN sesi 2025-2026 menetapkan visi yang jelas, “Menjadi majlis penasihat yang inklusif, berintegriti dan berpandangan jauh sebagai suara utama pengguna dalam membentuk dasar negara”.
Menurut beliau, visi berkenaan akan dipacu menerusi empat tonggak utama iaitu: i) Memperkasa Kepenggunaan – dasar yang lebih responsive dan mesra rakyat.
ii) Pendigitilan dan Inovasi – advokasi dan redres pengguna yang lebih pantas, mesra dan berkesan.
iii) Pengukuhan Suara Pengguna – memastikan suara rakyat dari semua lapisan diangkat.
iv) Kerjasama Strategik – membina sinergi Bersama NACCOL, KPDN, NGO, industry dan rakan antarabangsa.

Bagi menjayakan tonggak ini, jelas Mohd Khair, lima strategi akan dilaksanakan iaitu: i) Menggerakan advokasi dan Pendidikan Pengguna secara inklusif.
ii) Menyokong agenda kos sara hidup dengan cadangan dasar yang praktikal.
iii) Mewujudkan mekanisme redress digital atau Online Dispute Resolution yang cepat dan cekap.
iv) Memastikan inklusiviti – belia, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dn B40 tidak ketinggalan.
v. Menghasilkan laporan tahunan berasaskan data, sebagai kayu ukur keberkesanan dasar.
“Dengan gabungan pengalaman lama dan baru, saya yakin MPPN sesi 2025-2026 akan menjadi pemacu reformasi pengguna yang amat berkesan kepada kehidupan rakyat.
“Justeru, saya mohon kita semua berganding bahu untuk pastikan suara rakyat sebagai suara dasar sekali gus menjadikan Malaysia terus menjadi negara pengguna berdaya, berpengetahuan dan dilindungi,” kata Mohd Khair.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001