SEPANG – Mahkamah Rendah Syariah Sepang hari ini mengesahkan pelakon dan pelawak, Muhammad Nizamudin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Along Cham, 42, sah bercerai dengan isterinya, Afreena Suhaimi, 32, melalui lafaz cerai taklik yang berlaku pada Jun 2024.
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Syarie, Muhammad Nazri Basrawi, setelah mendapati lafaz cerai yang dilafazkan oleh plaintif adalah sah dan menjatuhkan talak satu terhadap defendan.
Mahkamah juga dimaklumkan bahawa tiada rujuk dilakukan dalam tempoh idah.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut menyatakan lafaz cerai kedua yang dibuat pada Julai tahun lalu tidak memenuhi syarat ditetapkan dan oleh itu dianggap tidak sah.
Prosiding tersebut menyaksikan Muhammad Nizamudin diwakili peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan, manakala Afreena diwakili peguam syarie, Mohamad Iezwan Ielias.
Afreena tiba sedikit lewat ke mahkamah kerana mengalami kecederaan akibat terkena minyak panas dan perlu mendapatkan bantuan orang lain untuk hadir.
Permohonan pengesahan lafaz cerai taklik ini difailkan oleh Muhammad Nizamudin pada 10 Februari lalu.
Difahamkan, pengesahan asal dirancang dibuat pada Disember tahun lalu, namun ditangguhkan susulan penahanan plaintif oleh pihak berkuasa berikutan kes berasingan.
Dalam permohonan yang difailkan, plaintif mendakwa isterinya telah melanggar tiga syarat taklik termasuk tidak mematuhi dan membelakangkan suami.
Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan kedua Along Cham selepas bercerai dengan penyanyi dan bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat, Zila Seeron, pada Ogos 2016.
Hasil perkahwinan terdahulu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 14 tahun.
Muhammad Nizamudin dan Afreena bernikah pada 4 April 2024, namun perkahwinan tersebut tidak dikurniakan zuriat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001