Indonesia nafi campur tangan keputusan Fifa denda Malaysia

PETALING JAYA -Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Erick Thohir menafikan tuduhan kononnya ada campur tangan negara itu dalam tindakan yang dikenakan Fifa terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain naturalisasi skuad kebangsaan.

Erick, yang juga pengerusi Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), berkata Indonesia tidak pernah ‘campur tangan’ urusan negara lain.

“Kami tidak campur dalam politik atau dasar negara lain, tetapi sudah tentu kami mahu sukan di Indonesia maju.

“Kami ingin bola sepak Indonesia maju, badminton bagus, pencak silat mendunia. Tapi kami tidak ikut campur isu negara lain,” katanya yang dipetik portal Detik20 sebagai berkata.

Sekatan itu berpunca daripada aksi kelayakan Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Vietnam pada 10 Jun lalu.

Dalam perlawanan tersebut tujuh pemain naturalisasi Malaysia, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano diturunkan.

FIFA berkata pihaknya menerima aduan mengenai kelayakan mereka selepas kemenangan itu, yang juga kemenangan pertama Malaysia ke atas Vietnam dalam tempoh 11 tahun.

Jawatankuasa tatatertib Fifa mendapati FAM bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib, yang berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen.

Sehubungan itu, FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua kegiatan berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.

Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman berkata isu itu berpunca daripada ‘kesilapan teknikal’ oleh pegawai, manakala Pemangku Presiden Yusoff Mahadi pula menegaskan badan induk itu mengikut prosedur yang betul dan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *