“KETIKA aku berfikir-fikir akan kematian… Di hari aku menyambut harijadi ke-71… Aku tiba-tiba terdiam… Terdiam dan… terdiam”
Demikian bait pembuka bagi puisi eponim dalam antologi keempat Datuk Dinsman ini, sebuah karya yang menyelam jauh ke dalam dasar renungan insan senja, yang tidak lagi hanya merenung masa silam, tetapi kini merenung ke dalam liang tak terlihat – kematian.
Antologi Ketika Aku Berfikir-Fikir Akan Kematian yang memuatkan 91 puisi, dihadiahkan kepada penulis sebaik selesai Bengkel Penulisan Skrip Teater Siri Kedua dan Persembahan Monolog anjuran PAKSI di Rumah Kebun Cikgu Sharifah dan Pak Kassim di Kampung Cita Jaya, Tanah Merah, Kelantan pada 17 September 2025 yang lalu.
Buku bersaiz kecil ini, berlatar rias awan tebal nan gelap, terbit dari kesedaran mendalam penyair mengenai usia, kefanaan dan kekosongan yang indah.
Dinsman, penyair, dramatis dan pemikir seni yang telah lama dikenali kerana ketajaman simbolisme dan eksperimentasi bentuk, kali ini tampil dengan gaya lebih terarah dan bersifat renungan peribadi.
Namun begitu, renungan ini tidak terhenti pada “aku” sebagai individu, sebaliknya ia menyingkap persoalan “kita” sebagai umat manusia yang sedang menuju batas akhir perjalanan.
Dihasilkan antara tahun 2015 hingga 2021, antologi ini bagaikan diari puisi seorang penyair yang semakin dekat dengan “kesudahan”, namun bukan dengan gentar atau ketakutan, tetapi dengan keingintahuan, kerendahan hati dan sesekali ironi.
Judul utama, ‘Ketika Aku Berfikir-Fikir Akan Kematian’ yang juga merupakan puisi di muka surat 42, menjadi nadi koleksi antologi ini, yang lebih disenanginya dengan panggilan ‘Kumpulan Puisi’.
Puisinya bersahaja, tanpa metafora mewah atau gaya bahasa berbunga. Namun kekuatan puisinya terletak pada kejujuran dan kesan ‘diam’ yang ditinggalkannya.
Ketika penyair “terdiam” di hari ulang tahun ke-71, pembaca juga turut diam. Inilah seni Dinsman, menggunakan kata yang sangat sedikit untuk menghasilkan gema yang sangat dalam.
Puisi-puisi lain dalam koleksi ini, seperti ‘Bukan Kerana Berfikir’, ‘Sudah Tua’, ‘Kamu Sedang Apa?’ dan ‘Menjelang Stesen 71’, walaupun tidak semuanya secara langsung menyebut “mati”, tetap berputar dalam orbit makna yang sama, keluh-kesah usia, kenangan yang samar, tubuh yang melemah, kehilangan dan ketidaktentuan masa hadapan.
Namun, ada juga puisi yang seolah mengangkat persoalan hidup menuju mati sebagai satu bentuk perayaan seperti contoh, ‘Kalaulah Kutahu Merdeka Itu Apa’, ‘Hidup’, Tujuhpuluhsatu’, dan ‘Di Hujung’.
Kematian tidak selalu ditangisi, malah kadangkala disambut dengan kehairanan yang tenang, satu sikap yang jarang dalam puisi moden Melayu, yang sering kali terperangkap antara simbolisme keagamaan dan sentimen dramatik.
Kehilangan hampir seluruh karya yang tersimpan dalam laptop dan hard disk, berjumlah lebih 500 esei dan pelbagai naskhah teater, merupakan tragedi yang bukan kecil bagi seorang penulis.

Namun, dari tragedi itulah Dinsman memulakan “kelahiran semula” dalam bentuk dokumentasi puisi-puisi ini, yang mula dikumpul melalui media sosial dengan tanda pagar sebagai arkib mini.
Di sinilah, Ketika Aku Berfikir-Fikir Akan Kematian menjadi bukan sahaja antologi puisi, tetapi juga testimoni kesungguhan seorang seniman untuk terus menyatakan hidup meski kehilangan sebahagian besar hasil kerja silam.
Diterbitkan oleh Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia (PAKSI) dan dicetak dalam bentuk buku kecil 100 muka surat, antologi ini mudah dipegang dan dibawa, seolah menjemput pembaca untuk menyimpannya dalam saku, membaca satu dua puisi dalam perjalanan, atau ketika duduk diam merenung nasib sendiri.
Puisi-puisinya tidak panjang, tidak juga menjenuhkan. Ia seperti serpihan-serpihan kesedaran yang dirakam sebelum tidur atau sesudah subuh.
Dinsman juga tidak mengasingkan dirinya dari khalayak intelektual. Buku ini turut dihiasi kata pengenalan oleh Mas Rynna Wati Ahmad (Ph.D) dari UKM, dan ulasan oleh Timbalan Presiden PAKSI, Kassim Muhamad yang menyifatkannya sebagai “kumpulan puisi mengejutkan tapi sendu”.
Tanggapan ini sangat bertepatan kerana kesenduan itu tidak bersifat suram, tetapi hadir sebagai bayang yang mendamaikan.
Antologi Ketika Aku Berfikir-Fikir Akan Kematian bukan sekadar koleksi puisi. Ia adalah monolog atau dalam erti tertentu, ia juga adalah sejenis wasiat seni. Ia tidak menakut-nakutkan kita dengan kematian, tetapi mengajar kita untuk menatapnya dengan tenang.
Kematian dalam puisi Dinsman bukan pengakhiran, tetapi sebuah pintu. Pintu yang dibuka bukan dengan ratapan, tetapi dengan renungan dan diam.
“Aku tiba-tiba jadi terlupa bagaimana
seharusnya aku berfikir dan bagaimana
seharusnya aku hidup. Padahal
aku telah hidup 70 tahun”
Barangkali inilah pertanyaan paling jujur yang boleh kita ajukan kepada diri sendiri, dan Dinsman telah menuliskannya untuk kita.
Maklumat Buku:
Judul: Ketika Aku Berfikir-Fikir Akan Kematian
Penulis: Dinsman
Penerbit: Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia (PAKSI)
Tahun Terbit: 2022
Jumlah Halaman: 100
Bilangan Puisi: 91
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Satu ulasan yang menyeluuh dengan menyentuh secara halus sanubari Dan Fizikal Diam diri seorang Sasterawan tulen.
Terima kasih ManZaidi dan NasionalDaily untuk ulasan yang baik ini.
Terima kasih atas kata-kata yang begitu indah dan menyentuh. Saya amat menghargai penghargaan dan pengamatan yang halus itu. Moga setiap diam dan bicara seorang sasterawan terus membawa makna dan menyuluh jiwa-jiwa yang mendambakan kejujuran dalam tulisan. – Editorial ND