Dari Meja Editorial

SETIAP kali dunia menyaksikan peningkatan serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin, kita melihat reaksi tipikal daripada kepimpinan negara haram tersebut.
Tidak kira siapa pun memegang jawatan Perdana Menteri Israel, sama ada Benjamin Netanyahu atau yang lain, retorik yang sama akan diulang, iaitu serangan dan pembunuhan ke atas rakyat Palestin kononnya adalah demi “keselamatan negara Yahudi” daripada ancaman umat Islam.
Namun, persoalan paling asas yang perlu ditanyakan semula dan direnung oleh dunia ialah siapa sebenarnya yang menjadi mangsa? Dan siapa pula yang menjadi penindas?
Sejak dekad 1940-an, naratif keselamatan bagi kaum Yahudi sering menjadi alasan utama bagi Israel untuk menjustifikasi tindakan ketenteraan mereka.
Apa sahaja bentuk penentangan, walaupun sekadar protes aman atau seruan boikot, akan dilabel sebagai “antisemitik” atau “ancaman keganasan Islam”.
Namun, fakta sejarah dan statistik yang telah didokumentasikan oleh pelbagai badan hak asasi manusia jelas menunjukkan ketidakseimbangan kekuatan dan korban antara kedua-dua pihak.
Israel, yang didukung oleh keupayaan ketenteraan tercanggih dan sokongan tanpa syarat dari negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, sentiasa memegang kawalan mutlak dalam konflik ini, bukan sahaja dari segi ketenteraan, malah dari segi media dan pengaruh politik global.
Menurut laporan yang disahkan oleh organisasi antarabangsa seperti Human Rights Watch (HRW) dan Amnesty International, angka korban rakyat Palestin jauh lebih tinggi berbanding rakyat Israel, malah jurangnya terlalu besar untuk dimaafkan.
Sejak tahun 2008 hingga 2023, lebih 35,000 rakyat Palestin telah terbunuh, sebahagian besar daripadanya adalah kanak-kanak, wanita dan warga tua.
Jumlah rakyat Israel yang terbunuh sepanjang tempoh sama pula dianggarkan kurang dari 1,500 orang, termasuk tentera dan orang awam.
Statistik ini jelas menunjukkan konflik ini bukanlah “perang dua hala” yang seimbang, tetapi lebih kepada penjajahan sepihak yang sistematik dan kejam.
Serangan udara yang menyasarkan hospital, sekolah, kem pelarian dan masjid di Gaza bukanlah perkara baharu. Setiap kali dunia menoleh ke arah lain, Israel memperhebatkan serangan.
Ketika artikel ini ditulis, laporan daripada Gaza menunjukkan bahawa hampir 500 hingga 800 rakyat Palestin terbunuh setiap minggu, kebanyakannya akibat pengeboman dan sekatan kemanusiaan.
Malangnya, dunia masih gagal untuk menamakan pembunuhan beramai-ramai ini sebagai apa yang sebenarnya berlaku, sebuah genosid moden.
Israel sering menggambarkan umat Islam, terutama rakyat Palestin sebagai ekstremis atau pengganas. Namun, sejarah membuktikan umat Islam telah berabad lamanya menjadi pelindung kepada kaum Yahudi, terutama ketika mereka ditindas di Eropah.
Dalam zaman empayar Islam di Andalusia, kaum Yahudi hidup dalam harmoni dan keamanan, jauh lebih aman berbanding kehidupan mereka di bawah pemerintahan Kristian ketika itu.
Jadi, jika umat Islam benar-benar “pembunuh kaum Yahudi” seperti yang digambarkan oleh propaganda zionis, mengapa sejarah menunjukkan sebaliknya?
Negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom sering melaungkan prinsip hak asasi manusia dan keadilan. Namun, apabila melibatkan Israel, prinsip ini tiba-tiba dibakul sampahkan.
Di PBB, hampir setiap resolusi yang mengkritik kekejaman Israel akan diveto oleh Amerika.
Apakah nyawa umat Islam, khususnya rakyat Palestin tidak mempunyai nilai dalam kaca mata Barat?
Konflik Palestin-Israel bukan lagi sekadar isu politik atau sempadan wilayah. Ia kini menjadi simbol kepada kegagalan masyarakat antarabangsa dalam mempertahankan kemanusiaan dan bukti nyata bagaimana sistem dunia masih berat sebelah terhadap kuasa dan pengaruh.
Selagi dunia terus membenarkan Israel menggunakan alasan keselamatan untuk membunuh dan menindas, maka selagi itulah penderitaan rakyat Palestin akan berterusan.
Dunia perlu berhenti menerima naratif palsu ini dan mula menilai fakta sebenar berdasarkan prinsip keadilan, bukan berdasarkan kepentingan geopolitik.
“Kita tidak akan aman selagi ada kezaliman yang dianggap sah. Dan tiada erti keamanan, jika ia dibina atas darah orang yang ditindas. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001