Sumandak Sabah Juara Debat Piala Menteri Pendidikan 2025 – Kecekalan & Kepetahan Jadi Kunci Kemenangan

KUALA LUMPUR – Kehebatan Sumandak Sabah terus menjadi bualan hangat di seluruh negara apabila pasukan dari negeri di bawah bayu itu muncul juara Debat Piala Menteri Pendidikan 2025.

Lebih membanggakan, mereka turut menyapu bersih gelaran Orator Terbaik dan Pendebat Terbaik Generasi Madani dalam pertandingan berprestij tersebut.

Kejayaan pasukan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan bakat anak muda Sabah, malah membuktikan semangat juang luar biasa mereka walau berdepan pelbagai cabaran getir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau sendiri dapat merasakan aura kemenangan pasukan ini sebaik sahaja mereka memulakan sesi perbahasan.

“Petah berhujah, artikulasi yang jelas, keyakinan tinggi dan penguasaan tajuk yang mantap. Itulah ciri-ciri orator hebat yang dimiliki mereka.

“Sebahagian daripada kami yang berada di bawah pentas, sudah dapat menjangkakan mereka akan menang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di media sosial.

Lebih menyentuh hati, ketika ditemu bual oleh pihak media, salah seorang wakil pasukan mendedahkan bahawa mereka menghadapi cabaran besar apabila Sabah dilanda bencana banjir baru-baru ini.

Keadaan itu menyebabkan mereka terputus hubungan internet dan elektrik, sekali gus menjejaskan persiapan latihan.

Namun, halangan tersebut tidak mematahkan semangat mereka.

“Sumandak Sabah memang terkenal dengan kekentalan jiwa dan semangat juang yang tinggi,” ujar Fadhlina penuh bangga.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Debat PETAH Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kali ini.

“Kepada pasukan yang belum menang, anggaplah ia sebagai kemenangan yang tertangguh. Pasti akan ada peluang dan pentas yang lain untuk anak-anak,” tambahnya.

Fadhlina juga memuji penganjuran PETAH KPM 2025 sebagai yang terbaik pernah beliau saksikan serta memberi penghargaan istimewa kepada pasukan juara.

“Teristimewa buat anak-anak juara orator, Sumandak Sabah, kalian memang onsoi!” katanya menutup catatannya dengan penuh rasa bangga.

Kejayaan Sumandak Sabah ini menjadi inspirasi buat seluruh anak muda negara, sekali gus membuktikan bahawa semangat kental, usaha gigih dan keyakinan diri mampu membawa kejayaan walau di mana pun asal usul mereka.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *