Pemimpin negara perlu faham teknologi, dengar nasihat - Tun Dr. Mahathir

Cadangan Payung Besar Perlu Fokus Kepada Penyatuan, Bukan Perpecahan

PUTRAJAYA – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan cadangan penubuhan ‘payung besar’ politik yang disifatkan berpotensi memecah-belahkan orang Melayu jika tidak dikendalikan dengan bijak.

Menurut beliau, sambutan terhadap cadangan pembentukan satu payung besar bagi menyatukan orang Melayu amat menggalakkan.

Namun, beliau turut memberi peringatan bahawa keghairahan untuk menjadi pemimpin telah menyebabkan beberapa pihak mahu menubuhkan payung besar masing-masing.

“Setiap mereka yang ingin jadi Perdana Menteri mendirikan payung besar mereka. Maka akan terdapat dua, tiga atau lebih payung besar,” katanya dalam kenyataan.

Dr. Mahathir menegaskan, keadaan itu hanya akan mengulangi pola lama dalam politik Melayu, di mana rakyat akan berpecah kepada kumpulan yang berbeza, menyokong pelbagai entiti dan akhirnya melemahkan kekuatan politik mereka sendiri.

“Seperti dengan keanggotaan dalam parti, orang Melayu akan berpecah. Maka payung besar pun memecah belah orang Melayu,” ujarnya.

Beliau menyeru agar rakyat, khususnya orang Melayu, berfikir secara rasional dan membuat pilihan yang bijak, sama ada ingin melihat hanya satu payung besar yang menyatukan atau beberapa payung besar yang memecah-belahkan.

“Hendak bersatu atau hendak berpecah?” soalnya.

Dr. Mahathir turut menegaskan, sekiranya terdapat lebih daripada satu payung besar, maka perpecahan dan kekalahan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Dalam kenyataan sama, beliau menyatakan keyakinan pengundi Melayu sebenarnya mempunyai cukup kawasan untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Namun begitu, beliau menolak idea penubuhan kerajaan yang 100 peratus Melayu.

“Bukanlah niat orang Melayu untuk mendiri Kerajaan 100 peratus Melayu. Seperti dengan Perikatan dahulu, Kerajaan campuran boleh didirikan dengan kaum Cina, India dan suku kaum lain,” jelasnya.

Kenyataan ini dilihat sebagai satu gesaan penting menjelang kemungkinan penjajaran baharu politik tanah air yang menyaksikan pelbagai pihak cuba menyatukan kekuatan di bawah satu platform, namun berdepan risiko perpecahan akibat perbezaan kepentingan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *