KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, membuat laporan polis di Kota Kinabalu, semalam, susulan pagar rumahnya disimbah cat dengan satu nota tertera perkataan ‘Datuk’ turut ditinggalkan.
Dalam hantaran melalui Facebook, semalam, Aliakbar berkata, beliau bagaimanapun tidak menuduh mana-mana pihak berhubung insiden itu.
“Hari ini (semalam), saya membuat laporan polis kerana pada pagi tadi, pagar rumah saya disimbah cat dan ada satu nota tertera ‘Datuk’ dengan tulisan merah.
“Saya membuat laporan untuk meminta polis menyiasat kalau ada sebarang usaha atau khianat, serta bagi menjaga keselamatan saya dan keluarga sebab biasanya kalau begini, ia seolah-olah satu ancaman… mungkin ugutan.
“Secara peribadi, saya tidak menuduh mana-mana pihak melakukan perkara ini. Cuma, saya berharap jangan lagi berulang perkara seumpama ini.
“Kalau ia terkait dengan perkara politik, saya ingat ini adalah cara politik yang lama. Perkara ini sepatutnya tidak lagi berlaku.
“Biarlah kita mengamalkan demokrasi yang sihat, tenang dan aman,” katanya.
Aliakbar turut mendakwa bahawa beliau secara peribadi tidak pernah menyebut nama orang, caci maki mahupun menggunakan perkataan kesat dalam kempen atau ceramah politik.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001