Peguam repot polis maklumat saksi kanak-kanak inkues Zara bocor

PETALING JAYA -Satu laporan polis dibuat selepas maklumat mengenai saksi kanak-kanak dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir bocor di media sosial.

Peguam Ram Singh, yang mewakili kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai ‘Pelajar A’, berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Luyang kira-kira 4 petang semalam, lapor Harian Metro.

Ram berkata mereka mahu polis menyiasat kebocoran maklumat peribadi saksi bawah umur itu bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Ini untuk melindungi saksi dan memelihara integriti inkues,” katanya.

Inkues semalam ditangguhkan ke Isnin selepas Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dimaklumkan bahawa kenyataan saksi kanak-kanak pertama telah bocor di internet.

Prosiding seterusnya akan dijalankan secara tertutup.

Ram berkata maklumat yang bocor itu termasuk kenyataan saksi kanak-kanak berkenaan, dan tersebar di pelbagai platform media sosial termasuk WhatsApp.

Katanya, satu video TikTok juga mendedahkan nama lima lagi pelajar lain yang terlibat dalam inkues itu.

Menurutnya, perkara itu menyebabkan kanak-kanak tersebut dan ibunya takut serta tertekan.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan sehari selepas dijumpai tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis manakala sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *