KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan keamanan tidak akan tercapai selagi Israel terus menindas rakyat Palestin, merampas tanah mereka, serta enggan mengiktiraf hak Palestin untuk memiliki negara sendiri.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang melabel Hamas sebagai organisasi pengganas, Mahathir berkata naratif itu menutup fakta sebenar iaitu konflik berpunca daripada rampasan tanah rakyat Palestin bagi menubuhkan negara Israel.
“Netanyahu mahu dunia percaya Hamas hanya wujud untuk menakutkan Israel. Hakikatnya, tanah Palestin dirampas untuk membentuk negara Israel. Itu satu ketidakadilan besar.
Mereka mahu tanah dikembalikan, tetapi semua usaha digagalkan oleh Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mahathir, kegagalan pelan dua negara selepas pembunuhan Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin, menjadi bukti Israel tidak pernah berniat mengiktiraf kewujudan Palestin. Hamas, katanya, lahir daripada kekecewaan itu dan mengambil alih Gaza sebagai bentuk penentangan.
Beliau menambah, penindasan Israel berlanjutan dengan rampasan tanah baharu, pembinaan penempatan haram, penahanan ribuan warga Palestin tanpa perbicaraan, serta pendudukan Baitulmaqdis.
“Apabila cara undang-undang gagal, satu-satunya jalan ialah menawan rakyat Israel untuk ditukar dengan tahanan Palestin. Pada 2023, Hamas menawan kira-kira 200 rakyat Israel. Israel kemudian melancarkan perang genosid yang membunuh 70,000 rakyat Gaza dan mencederakan lebih 100,000 orang,” katanya.
Mahathir turut menegaskan bahawa walaupun Hamas dibubarkan atau dilucutkan senjata, perjuangan rakyat Palestin akan berterusan kerana ia melibatkan soal maruah, tanah air, dan keadilan.
“Jika Israel mahu menghentikan usaha pembebasan Palestin, ia mesti hentikan perang dan pulangkan tanah Palestin. Tetapi atas apa yang dilakukan di Gaza, umat Islam akan membenci Yahudi selama-lamanya,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001